Yangwang tunjuk teaser sedan mewah baru – pesaing Rolls-Royce daripada BYD dengan pintu suicide

Selepas berjaya menghasilkan kereta produksi terpantas di dunia, Yangwang, jenama ultra-mewah di bawah BYD, kini dilaporkan sedang membangunkan sebuah sedan flagship yang bakal bersaing dalam segmen sama dengan Rolls-Royce. Model baru itu masih dalam peringkat pembangunan, namun beberapa imej prototaip yang dikongsi pengurus besar Yangwang, Hu Xiaoqing menerusi Weibo memberikan gambaran awal mengenai reka bentuknya.

Buat masa ini, tidak banyak maklumat rasmi didedahkan mengenai model tersebut selain kod pembangunan dalaman HU. Bagaimanapun, imej yang dikongsikan menunjukkan beberapa ciri utama sedan berkenaan, tetapi dalam keadaan kebanyakan bahagian badannya masih dilindungi dengan pelekat penyamaran bagi menyembunyikan perincian reka bentuk.

Seperti yang dapat dilihat, sedan berkenaan mempunyai badan sangat panjang dan dijangka melebihi lima meter. Reka bentuknya turut menampilkan ciri tipikal sebuah kereta mewah bersaiz besar, termasuk badan yang tinggi, tiang-C yang tebal serta pintu belakang jenis suicide seperti kebiasaan bagi Rolls-Royce. Menariknya, model ini menggunakan rim berdiameter 21 inci yang kelihatan agak kecil untuk sebuah sedan sebesar ini.

Yangwang tunjuk teaser sedan mewah baru – pesaing Rolls-Royce daripada BYD dengan pintu suicide

Berbeza dengan Yangwang U7 yang mengambil inspirasi reka bentuk daripada supercar U9, model baru ini dilihat lebih dekat dengan bahasa reka bentuk SUV U8. Lampu hadapan menggunakan rekaan beralun yang dikatakan mendapat inspirasi daripada pintu gerbang celestial, manakala unit pada prototaip ini turut menampilkan projektor menyerupai permata bersama corak pencahayaan bertekstur frosted.

Setakat ini masih belum diketahui sama ada model tersebut akan menggunakan sistem kuasa elektrik sepenuhnya seperti U7 dan U9, atau sistem EV dengan range extender seperti U8. Bonet hadapannya yang panjang memberi petunjuk bahawa terdapat enjin di bawahnya, namun laporan Autohome sebelum ini mendakwa model berkenaan bakal menggunakan bateri solid-state pertama BYD, yang berpotensi menawarkan jarak pemanduan jauh tanpa memerlukan enjin sebagai penjana.

Sedan ini juga dijangka menyokong teknologi pengecasan pantas baru BYD, iaitu Flash Charging berkuasa sehingga 1,500 kW. Teknologi tersebut dikatakan mampu mengecas bateri daripada 10% hingga 70% hanya dalam masa lima minit, sekaligus membolehkan masa pengecasan dipendekkan dengan ketara sekiranya spesifikasi itu direalisasikan pada model produksi.

Kemunculan model baru ini hadir ketika BYD sedang membuat persiapan untuk membawa jenama Yangwang ke pasaran global, mengikut jejak langkah Denza. Yangwang sebelum ini telah memasuki pasaran Timur Tengah, manakala Autocar melaporkan jenama berkenaan dirancang untuk memasuki pasaran Eropah dan United Kingdom pada tahun depan. Jika direalisasikan, sedan flagship ini bakal menjadi model penting dalam usaha Yangwang mencabar jenama mewah tradisional di peringkat global.