Range Rover Sport Electric diperkenal – dua motor, kuasa sehingga 550 PS/850 Nm, WLTP 609 km

Hanya sebulan selepas Range Rover Electric diperkenalkan, kini tiba giliran Range Rover Sport generasi L461 menerima versi elektrik penuh menerusi Range Rover Sport Electric. Model baru ini mengekalkan karakter SUV prestasi tinggi Range Rover Sport, tetapi menggantikan enjin pembakaran dalaman dengan sistem pacuan elektrik sepenuhnya.

Range Rover Sport Electric menggunakan sistem pacuan semua roda dengan dua motor elektrik yang masing-masing menghasilkan 260 kW (354 PS), untuk output keseluruhan 550 PS dan 850 Nm. Angka tork itu merupakan yang tertinggi pernah ditawarkan pada mana-mana Range Rover Sport setakat ini. Dengan Dynamic Launch Mode diaktifkan, ia mampu memecut dari 0-96 km/j dalam hanya 4.3 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 118.5 kWh, yang membolehkan jarak perjalanan sehingga 378 batu atau 609 km mengikut piawaian WLTP. Sistem elektrik 800 volt turut digunakan bersama teknologi pengecasan berpisah, membolehkan jarak sejauh 220 km ditambah dalam masa hanya 10 minit. Pengecasan 10 hingga 80% pula mengambil kira-kira 22 minit, menurut Land Rover.

Range Rover Sport Electric diperkenal – dua motor, kuasa sehingga 550 PS/850 Nm, WLTP 609 km

Range Rover Sport Electric turut dibina pada barisan pengeluaran yang sama dengan versi plug-in hybrid (PHEV), diesel dan petrol kerana semuanya menggunakan platform MLA-Flex. Struktur badannya dikatakan 61% lebih tegar berbanding Range Rover Sport PHEV, manakala pusat graviti pula direndahkan sebanyak 73 mm. Berbanding Range Rover Electric yang lebih besar, model Sport ini turut mempunyai peningkatan kadar penghantaran tork sebanyak 50%.

Dari segi penampilan, Range Rover Sport Electric masih kelihatan hampir sama seperti L461 berenjin pembakaran dalaman. Perbezaannya terletak pada beberapa elemen seperti gril hadapan yang dioptimumkan untuk aerodinamik serta reka bentuk rim aloi khusus. Kedua-dua perubahan ini membantu meningkatkan kecekapan tenaga, terutamanya ketika SUV berkenaan dipandu pada kelajuan lebuh raya.

Walaupun menggunakan sistem kuasa elektrik, keupayaan meredah laluan lasak masih menjadi antara fokus utama model ini. Range Rover Sport Electric mampu mendaki cerun dengan kecerunan sehingga 45 darjah serta meredah air sedalam 900 mm, sama seperti kemampuan Range Rover Sport berenjin pembakaran dalaman. Ia turut dilengkapi sistem Intelligent Traction Management yang ditala khusus, sistem pacuan semua roda maya, Dynamic Air Suspension dan Active Roll Control elektronik (eARC).

Sistem eARC mampu menghasilkan sehingga 1,400 Nm daya pada setiap gandar menerusi penyerap hentak dwi-injap. Sementara itu, sistem Adaptive Dynamics 2 memantau sehingga 100 parameter sebanyak 500 kali sesaat bagi memberikan kawalan badan yang lebih baik ketika mengambil selekoh dan membrek.

Seperti Range Rover Electric, model ini turut dilengkapi Battery Digital Twin yang membolehkan Land Rover memantau serta melakukan penyelenggaraan secara proaktif melalui kemas kini perisian over-the-air.

Tempahan Range Rover Sport Electric kini dibuka dan ia ditawarkan dalam varian Dynamic SE, Dynamic HSE, Autobiography serta First Edition. Menurut Autocar, harga bagi varian asas Dynamic SE bermula di bawah 45,000 pound sterling, bersamaan kira-kira RM243,830. Model ini dijangka menjadi pilihan baharu untuk pelanggan yang mahukan kemampuan dan prestasi Range Rover Sport dalam bentuk pacuan elektrik sepenuhnya.