Porsche bakal mengurangkan tambahan 5,000 pekerja selepas pihak pengurusan dan wakil buruh syarikat berkenaan menamatkan rundingan baru-baru ini yang telah berlangsung selama beberapa bulan, lapor Reuters.
Langkah terbaharu ini diumumkan selepas pembuat kereta sport dari Jerman berkenaan membuat pengurangan pekerja pusingan pertama yang menjejaskan 3,900 kakitangannya pada Februari tahun lalu, serta tambahan 500 orang lagi tahun ini yang dikaitkan dengan penutupan anak syarikatnya.
Menjelang 2035, satu daripada lima jawatan akan dikurangkan, dengan kira-kira 9,000 jawatan akan diberhentikan secara keseluruhannya, di mana syarikat induk Porsche iaitu Volkswagen Group dan jenama lain di bawahnya menjalani proses penstrukturan semula susulan permintaan yang berkurangnya serta persaingan yang sengit.
Menerusi laporan kemampanan terkini yang didedahkan, Volkswagen Group masih mempunyai 42,066 pekerja sepanjang tahun fiskal 2025, jadi pengurangan pekerjaan ini akan mewakili kira-kira 21% daripada keseluruhan tenaga kerjanya.
Bekas CEO McLaren Michael Leiters yang dilantik untuk menerajui Porsche bermula Januari 2026, telah ditugaskan untuk merombak perniagaan tersebut selepas jualan di China – salah satu pasaran Porsche yang paling besar – merosot. Strategi kenderaan elektrik (EV) Porsche juga kini sedang menghadapi cabaran yang agak besar dengan permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang diumumkan pada hari Isnin lalu, 27 Julai 2026, Porsche telah menjamin untuk memastikan tapak operasinya terus dibuka selama lima tahun lagi, sehingga akhir tahun 2035, serta melabur 2.1 bilion euro (kira-kira RM9.8 bilion) di kilang utamanya di Stuttgart-Zuffenhausen dan pusat R&Dnya di Weissach.









Porsche Cayenne Coupe
dari RM739,000
Porsche Macan Electric
dari RM575,000
Porsche Panamera
dari RM1,300,000
Porsche Cayenne
dari RM609,000