Xpeng G9L didedah – EV dan EREV, adakah ini “SUV besar” yang akan tiba di Malaysia tidak lama lagi?

Xpeng mendedahkan imej pertama bagi G9L, SUV lima tempat duduk baru yang bakal menggantikan G9 yang diperkenalkan pada 2022. Model ini akan menjadi antara produk utama dalam barisan syarikat itu bersama GX yang menawarkan konfigurasi enam tempat duduk. Menariknya, Xpeng mengesahkan G9L dibangunkan khusus dengan mengambil kira keperluan pasaran global.

Perkembangan ini secara tidak langsung meningkatkan kemungkinan G9L akan ditawarkan di Malaysia. Sebelum ini, ketika Auto China 2026 pada April lalu, Bermaz selaku pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia mengesahkan sebuah SUV bersaiz besar akan diperkenalkan ke pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini. Pada mulanya ramai menjangkakan model tersebut ialah GX, namun dengan pendedahan G9L ini, besar kemungkinan model inilah yang dimaksudkan.

Dari aspek rekaan, G9L jelas mengambil inspirasi daripada GX, namun tampil dengan bentuk yang lebih rendah dan garis badan yang lebih dinamik. Berbeza dengan gaya minimalis GX yang sering dibandingkan dengan Range Rover, G9L dilihat lebih sporty tanpa mengenepikan imej premium. Di bahagian hadapan dan belakang, lampu LED melintang penuh masih dikekalkan, dengan keseluruhan sistem pencahayaan menggunakan 480 unit LED.

Xpeng G9L didedah – EV dan EREV, adakah ini “SUV besar” yang akan tiba di Malaysia tidak lama lagi?

Reka bentuk tingkap yang rata dengan badan serta ketiadaan bingkai tingkap turut mengingatkan kepada model-model premium Land Rover. Pemegang pintu jenis pop-out masih digunakan, meskipun China akan menguatkuasakan larangan penggunaan sistem pelepas pintu elektronik sepenuhnya bermula 2027.

Walaupun hanya menawarkan dua baris tempat duduk, G9L masih merupakan sebuah SUV bersaiz besar dengan ukuran panjang 5,120 mm, lebar 1,999 mm dan tinggi 1,782 mm. Jarak rodanya pula mencecah 3,100 mm, sekaligus menjanjikan ruang kabin yang luas.

Antara teknologi menarik yang ditawarkan termasuk sistem kawalan suara yang boleh digunakan dari luar kenderaan. Sistem ini menggunakan 16 mikrofon serta dua pembesar suara luaran untuk mengawal pelbagai fungsi, termasuk membuka pintu secara automatik. Sebaik pintu dibuka, papan pemijak sisi akan keluar dalam tempoh kurang 0.8 saat, disertakan dengan paparan tirai cahaya yang dipancarkan ke permukaan jalan.

Xpeng G9L didedah – EV dan EREV, adakah ini “SUV besar” yang akan tiba di Malaysia tidak lama lagi?

Xpeng masih belum mendedahkan spesifikasi penuh model ini, namun menurut laporan Autohome, G9L bakal dilengkapi tempat duduk pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan sehingga 91 sensor tekanan bagi melaraskan kedudukan tempat duduk mengikut perubahan postur penumpang secara automatik. Selain itu, SUV ini juga dijangka hadir dengan peti sejuk binaan dalam serta sistem audio premium 33 pembesar suara.

Seperti sedan L03, G9L dilaporkan akan ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa, iaitu elektrik sepenuhnya (EV) dan PowerX dengan sistem range extender (EREV).

Bagi versi EV, pelanggan boleh memilih sama ada pacuan roda belakang yang menghasilkan 367 PS (270 kW) atau versi pacuan semua roda dengan kuasa sehingga 585 PS (430 kW). Model ini turut ditawarkan dengan pilihan bateri LFP dan NMC yang memberikan jarak perjalanan sehingga 672 hingga 805 km mengikut kitaran CLTC, atau sekitar 550 hingga 660 km dalam penggunaan sebenar. Sistem elektrik 800 volt pula membolehkan pengecasan pantas DC menambah sehingga 450 km jarak perjalanan dalam hanya sembilan minit.

Xpeng G9L didedah – EV dan EREV, adakah ini “SUV besar” yang akan tiba di Malaysia tidak lama lagi?

Sementara itu, varian PowerX menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo yang menghasilkan 150 PS (110 kW) sebagai penjana kuasa, dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 286 PS (210 kW) untuk versi pacuan roda belakang dan 503 PS (370 kW) bagi versi pacuan semua roda. Jarak pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya masing-masing ialah 325 km dan 350 km berdasarkan piawaian WLTP.

Dari aspek bantuan pemanduan, G9L turut dilengkapi sistem pemanduan automatik generasi baru Xpeng yang menggunakan model kecerdasan buatan Visual-Language-Action (VLA 2.0). Teknologi ini telah disahkan akan diperkenalkan ke pasaran global secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk Malaysia.

Sekiranya G9L benar-benar memasuki pasaran tempatan, ia bakal menjadi pencabar baru dalam segmen SUV elektrik premium bersaiz besar, termasuk kepada Zeekr 9X yang turut dijangka dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.