Mercedes-AMG memperluaskan keluarga GT 4-Door Coupé dengan memperkenalkan GT53 sebagai varian lebih mampu milik berbanding GT55 dan GT63. Model ini menggunakan dua motor elektrik berbanding tiga motor pada varian lebih tinggi, namun masih mengekalkan sistem pacuan semua roda (AWD). Menariknya, pengurangan jumlah motor tidak menghalang GT53 daripada menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh.
Gabungan dua motor elektrik pada GT 53 menghasilkan kuasa maksimum 544 PS dan tork 800 Nm, manakala kuasa berterusan maksimum adalah 367 PS. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 3.5 saat dengan kaedah one-foot rollout, atau 3.9 saat tanpa kaedah tersebut. Sebagai perbandingan, angka itu 1.1 saat lebih perlahan berbanding GT63.
Kelajuan maksimum GT53 dihadkan kepada 230 km/j, atau 250 km/j jika dilengkapi pakej pilihan AMG Driver’s Package. Walaupun begitu, GT63 masih jauh lebih pantas dengan kelajuan maksimum sehingga 300 km/j apabila pakej sama dipasang.
Seperti GT55 dan GT63, GT53 menggunakan seni bina elektrik 800 volt dengan bateri berkapasiti bersih 106 kWh. Pengecasan pantas DC menyokong kuasa sehingga 600 kW, membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80% dalam hanya 11 minit. Jarak perjalanan maksimum pula mencecah 809 km mengikut piawaian WLTP, manakala pengecasan selama 10 minit dikatakan mampu menambah jarak sehingga 534 km. Pengecasan AC pula dihadkan kepada 11 kW.
Dari aspek bunyi, GT53 turut mendapat sistem yang meniru karakter enjin pembakaran dalaman. Jika GT63 menghasilkan bunyi seakan enjin V8 AMG GT R melalui mod AMGForce S+, GT53 pula meniru bunyi enjin enam silinder AMG, selari dengan kedudukannya sebagai varian lebih rendah dalam keluarga GT 4-Door Coupé.
GT53 turut dilengkapi sistem suspensi udara AMG Ride Control dengan penyerap hentak adaptif yang boleh dilaraskan menerusi tiga mod iaitu Comfort, Sport dan Sport+. Sistem aerodinamik aktif juga disediakan, termasuk spoiler belakang yang mengubah sudut mengikut kelajuan.
Selain itu, diffuser belakang aktif boleh memanjang untuk mengurangkan daya seretan angin dan membantu meningkatkan jarak perjalanan ketika dipandu pada kelajuan lebuh raya.
Ruang kabin GT53 berkongsi seni bina yang sama dengan varian lain, termasuk panel instrumen digital 10.2 inci dan skrin infotainmen tengah 14 inci. Pemandu boleh melaraskan pelbagai parameter melalui menu AMG Set-Up, manakala menu Aero Set-Up membolehkan sistem aerodinamik aktif ditala dengan lebih terperinci. Sistem AMG Drive Select pula menawarkan enam mod pemanduan iaitu Comfort, Sport, AMGForce Sport+, Slippery, Eco dan Individual.
Penghantaran Mercedes-AMG GT 53 4-Door Coupé kepada pelanggan bermula bulan ini, dengan harga permulaan 115,430 euro atau sekitar RM543,848. Untuk pasaran pemanduan sebelah kanan, termasuk beberapa negara lain, penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula lewat tahun ini.











Mercedes-Benz AMG GT
dari RM1,882,888
Mercedes-Benz CLA EQ
dari RM274,888
Mercedes-Benz AMG CLE
dari RM722,888
Mercedes-Benz EQV
dari RM450,350
Mercedes-Benz G-Class
dari RM958,888
Mercedes-Benz Maybach EQS SUV
dari RM1,088,888
Mercedes-Benz AMG G-Class
dari RM1,948,888
Mercedes-Benz AMG GLC Coupe
dari RM498,888
Mercedes-Benz AMG GLE
dari RM1,191,888