Geely Starray EM-R membuat penampilan sulung globalnya dengan pelancaran di Thailand, awal hari ini. Ini merupakan kereta EV range extender (REEV) pertama Geely yang dijual di seluruh dunia. Ya, dari segi rekaan, model ini nampak seiras dengan Starray EM-i (di sini dikenali juga sebagai Proton eMas 7 PHEV).
Ini bermakna, rekaan bahagian luarnya tidak diubah — ia menggunakan palang lampu hadapan yang sama, bahagian belakang ala Porsche Cayenne dan pilihan rim 18 dan 19-inci. Begitu juga bahagian dalamannya, yang telah diwarisi dari EX5/Proton eMas 7, termasuk paparan instrumen 10.2-inci dan skrin sentuh infotainmen 15.4-inci.
Malah sistem janaan kuasanya juga hampir sama — ada motor elektrik 218 PS/262 Nm, transmisi kelajuan tunggal 11-dalam-1 dan enjin NA 1.5 liter 99 PS/125 Nm yang berfungsi sebagai penjana. Bateri LFP CATL 18.4 kWh adalah kapasiti yang paling kecil yang terdapat di seluruh dunia dan memberikan jarak elektrik sejauh 104.8 km NEDC (model PHEV mencapai angka WLTP sebanyak 83 km). Dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 30 kW, ia boleh dicas dari SoC 30%-80% dalam masa 20 minit.
Perbezaannya ialah versi REEV ini tiada klac yang menghubungkan enjin ke transmisi dan seterusnya, ke roda hadapan. Ini bermakna, kuasa pacuan adalah elektrik sepenuhnya; kereta tidak boleh menggunakan bantuan enjin petrol pada kelajuan yang lebih tinggi, dan ia juga tidak menjana angka output keseluruhan 262 PS seperti versi PHEV. Ini mungkin akan memberi kesan kepada julat jarak perjalanannya (PHEV memberikan 943 km WLTP, 1,000 km NEDC) — Geely juga belum mengumumkan jumlah keseluruhan untuk REEV.
Manfaat utama daripada perubahan kecil ini ialah pengurangan cukai. Menurut Autolifethailand, kereta ini di sana diklasifikasikan sebagai kereta yang dipandu sepenuhnya oleh elektrik, walaupun enjin pembakaran dalaman digunakan unutk menjana elektrik tersebut.
Oleh itu, kenderaan seperti REEV dikenakan kadar cukai import sebanyak 20% berbanding 80% untuk kereta ICE biasa — dan itu termasuk PHEV. Ini sebab yang sama mengapa Nissan Elgrand e-Power yang akan datang (hibrid yang hanya menggunakan motor elektrik untuk memacu pergerakannya) dijangka lebih murah berbanding pesaing utamanya, Toyota Alphard dan Vellfire Hybrid.
Oleh itu, walaupun EM-R diimport dari China, ia dapat ditawarkan dengan harga yang agak kompetitif di Thailand, iaitu 699,900 baht (RM86,400) untuk varian Pro dan 799,900 baht (RM98,800) untuk varian Max. Sebagai perbandingan, walaupun pada harga promosi semasa, EX5 bermula dari 759,900 baht (RM93,800), manakala di Malaysia, versi EV (dari RM96,800) lebih murah berbanding PHEV (dari RM105,800).
Kelengkapan yang ada antara Pro dan Max sebahagian besarnya hampir sama dengan eMas 7 PHEV Prime dan Premium di sini. Pro datang dengan rim 18-inci, tempat duduk manual, penghawa dingin automatik dua-zon, enam-pembesar suara, kamera undur dan fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2.
Varian Max menerima tambahan rim 19-inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa, head-up display, sistem kamera 360-darjah, pintu belakang berkuasa, peninjau titik buta dan brek automatik lintasan trafik di belakang. Tiada makluman tentang fungsi urut, seperti yang ditambah untuk eMas 7 PHEV Premium dan Premium Plus CKD.
Walaupun pengedar di Thailand, Thonburi Neustern, menyatakan ini sebagai tayangan perdana dunia, realitinya ialah EM-R kemungkinan besar merupakan tawaran khusus untuk pasaran tersebut dan mungkin tidak akan ditawarkan di pasaran lain. Untuk Malaysia, mungkin versi Proton eMas 7 PHEV lebih praktikal?










