Dalam satu rombakan besar-besaran struktur kepimpinan syarikat, Geely Automobile Holdings mengumumkan, Li Shufu yang juga pengasasnya akan berundur daripada jawatan pengerusi dan pengarah eksekutif berkuat kuasa esok, 18 Ogos.
Geely Automobile Holdings merupakan syarikat yang menaungi jenama utama Geely, selain Zeekr, Lynk & Co yang dimiliki bersama Zeekr, serta pegangan Geely dalam Proton. Sementara itu, syarikat induk Zhejiang Geely Holding (ZGH) mengendalikan beberapa jenama lain termasuk Volvo, Polestar, Lotus dan smart.
Tempat Li sebagai pengerusi akan diambil alih oleh An Conghui, yang kini merupakan pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO) ZGH. An akan terus memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif Geely Automobile Holdings. Dalam peranan baru itu, An akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sinergi strategik, meningkatkan kerjasama dengan pemegang saham kawalan serta menyokong pembangunan jangka panjang dan mampan syarikat.
Walaupun berundur daripada Geely Automobile Holdings, Li masih kekal sebagai pengerusi ZGH dan akan terus memberikan sokongan strategik terhadap pembangunan jangka panjang Geely Auto. Sebagai menghargai sumbangannya kepada syarikat, Li turut dilantik sebagai “pengerusi kehormat seumur hidup.”
Rombakan turut melibatkan beberapa jawatan kanan lain dalam kumpulan tersebut. Ketua pegawai eksekutif Geely Automobile Group, Gan Jiayue, akan menggantikan Gui Shengyue sebagai CEO Geely Automobile Holdings. Gui yang sebelum ini telah lama memegang jawatan CEO Geely Automobile Holdings pula akan menggantikan Daniel Li Donghui sebagai timbalan pengerusi. Kedua-dua Li dan Gui akan terus berkhidmat sebagai pengarah eksekutif.
Menurut kumpulan itu, perubahan berkenaan bertujuan memperkukuh pelan “One Geely”, selain memperkemas pengurusan profesional serta meningkatkan kecekapan bagi menyokong pertumbuhan syarikat yang mampan dan sihat.
Li Shufu berkata beliau yakin barisan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan baru mampu meneruskan budaya korporat Geely, memperkemas sistem institusi serta memastikan syarikat terus berada di hadapan dalam prestasi ESG yang merangkumi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Rombakan kepimpinan ini hadir ketika Geely Auto mencatat prestasi jualan yang positif bagi separuh pertama tahun ini. Syarikat tersebut merekodkan jualan sebanyak 1.4 juta unit, meningkat dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu banyak dibantu prestasi eksport yang melonjak 158 peratus kepada 474,228 unit, sekaligus mengimbangi kemerosotan permintaan di pasaran domestik. Angka tersebut turut merangkumi jualan daripada Zeekr.
Prestasi Geely Auto bagaimanapun berbeza dengan beberapa cabaran yang dihadapi jenama lain di bawah ZGH. Polestar dan Lotus, misalnya, berdepan tekanan susulan tarif, sekatan perdagangan serta permintaan kenderaan elektrik premium yang semakin perlahan.
Polestar masih mencatat rekod jualan terbaik bagi separuh pertama tahun ini dengan 30,400 unit, meningkat 3.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Dengan perubahan kepimpinan ini, Geely dijangka memasuki fasa baru dalam usaha mengukuhkan strategi “One Geely”, sambil meneruskan rancangan penggantian kepimpinan jangka panjang kumpulan tersebut.










