Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

Jardine Cycle & Carriage (JC&C) merancang untuk menjual perniagaan Cycle & Carriage miliknya di Malaysia dan Singapura kepada PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia dengan harga S$265 juta (RM844 juta), lapor The Edge Singapore.

Setakat 30 Jun, Cycle & Carriage yang menjalankan pelbagai perniagaan termasuk pengedaran kenderaan pelbagai jenama, kini dinilai berharga US$292 juta (RM1.2 bilion), dan menyumbang kira-kira US$16 juta (RM65 juta) pada separuh pertama tahun fiskal 2026. Laporan itu turut menyebut bahawa hasil daripada penjualan yang akan dibuat ini bakal digunakan untuk mengurangkan hutang.

Ketika mengumumkan pendapatan separuh tahunnya pada 30 Julai lalu, JC&C mengumumkan bahawa ia akan menukar namanya kepada Jardine Matheson Southeast Asia untuk mencerminkan fokusnya dengan lebih baik sebagai divisi Asia Tenggara bagi kumpulan Jardine yang berpangkalan di Hong Kong, dan perjanjian ini akan membolehkannya “menghablur nilai” daripada perniagaan Cycle & Carriage, seterusnya menumpukan pada pasaran teras Indonesia dan Vietnam serta “memberikan hasil positif kepada para pemegang saham”.

Kumpulan Chandra Asri merupakan penyedia penyelesaian tenaga, kimia dan infrastruktur di Asia Tenggara, yang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada industri perkilangan di pasaran domestik dan antarabangsa. Baru-baru ini syarikat itu memperoleh rangkaian stesen minyak runcit berjenama Esso di Singapura, dengan pemegang sahamnya termasuk PT Barito Pacific Tbk, SCG Chemicals Public Company dan Thai Oil Public Company.

Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

“Kami berpandangan bahawa Cycle & Carriage akan berada pada kedudukan yang baik dalam ekosistem Chandra Asri Group untuk memanfaatkan sinergi dan peluang kerjasama yang dapat memperkukuh daya saing dan menyokong pertumbuhan masa depan,” kata JC&C.

Presiden pengarah dan CEO Chandra Asri, Erwin Ciputra pula berkata, “cadangan pengambilalihan Cycle & Carriage akan mewakili satu lagi peristiwa penting dalam transformasi Chandra Asri Group menjadi penyedia penyelesaian tenaga dan kimia, infrastruktur dan mobiliti serantau yang terkemuka.”

“Cycle & Carriage mempunyai warisan yang kukuh, jenama yang dipercayai dan pasukan yang berpengalaman. Kami berharap dapat menyokong perniagaan untuk fasa pertumbuhan seterusnya sambil terus melayani pelanggan dan rakan kongsi dengan kualiti dan kebolehpercayaan yang mereka harapkan,” tambahnya lagi.

Cycle & Carriage yang berusia hampir 130 tahun dikenali di menerusi kerjasama selama 75 tahun dengan Mercedes-Benz (pernah memiliki 49% saham Mercedes-Benz Malaysia). Buat masa sekarang C&C juga turut menjual dan menyelenggara kenderaan dari jenama Fuso, Peugeot, Leapmotor dan Kia di Malaysia.