Ketika mendedahkan model generasi baharu SUV Pajero generasi baharu tempoh hari, Presiden dan COO Mitsubishi Motors Keisuke Kishiura turut mendedahkan bahawa Pajero bakal kembali dikembangkan dengan beberapa versi kecil seperti sebelum ini.
Tiada sebarang perincian lanjut didedahkan oleh Kishiura kecuali menyebut Pajero bakal ditawarkan dalam versi “SUV kompak dan SUV kecil”, sambil menunjukkan gambar dua buah model yang masih dilindungi kain penutup.
Salah satu model berkenaan iaitu yang paling hujung nampak seperti sebuah K-Car, menandakan kemungkinan kembalinya model Pajero Mini. Walau bagaimanapun menerusi rupa bayangan badan ‘tall boy’ yang ditunjuk, K-Car Pajero generasi baharu ini bukan lagi seperti Pajero Mini terdahulu yang datang dengan rupa seperti SUV sebenar, sebaliknya diasaskan dari platform K-Car Mitsubishi eK dan eK X Space, seperti model Delica Mini yang kini dijual di pasaran domestik Jepun.
Seperti model-model K-Car yang lain, Pajero Mini berkenaan mungkin adalah model istimewa yang hanya ditawarkan pada pasaran Jepun. Namun penawaran “SUV kompak” Pajero mungkin lebih relevan pada pasaran global. Ingat lagi model Pajero iO yang pernah ditawarkan oleh Mitsubushi satu ketika dahulu? Jadi ini mungkin model generasi baharu bagi Pajero iO.
Sekali lagi tiada sebarang perincian disebut oleh Mitsubsihi berkenaan model ini. Namun dengan kata kunci ‘kompak’ yang diberikan, model berkenaan mungkin adalah SUV segmen-B atau segmen-C.
Buat masa sekarang Mitsubishi sememangnya tidak mempunyai platform untuk model segmen-C, di model dengan saiz tersebut seperti Mitsubishi Outlander yang dibina menggunakan platform CMF Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail.
Namun tidak mustahil Pajero iO generasi baharu ini akan dihasilkan dari platform rekaan Mitsubishi sendiri yang mengasaskan model seperti XForce dan Destinator. Kedua-dua model ini walaupun secara asasnya menampilkan casis monocoque pacuan roda hadapan, Mitsubishi telah membuktikan dengan kepakaran yang ada, kedua-dua model berkenaan direka menampilkan jarak kelegaan tanah yang tinggi serta mampu dipandu merentas laluan off-road ringan dengan dibantu sistem Active Yaw Controller (AYC).
Mungkin bagi model generasi baharu Pajero iO ini kelak bakal menampilkan varian pacuan semua roda pada platform tersebut?










Mitsubishi Xforce
dari RM109,980
Mitsubishi Triton
dari RM101,980
Mitsubishi Xpander
dari RM99,980