GWM Tank 700 LWB enam tempat duduk dalam dokumen pemfailan MIIT China – jarak roda lebih panjang 150 mm

GWM Tank 700 bakal menerima versi jarak roda panjang (LWB) dengan konfigurasi enam tempat duduk, berdasarkan dokumen pemfailan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), seperti yang dilaporkan oleh Car News China. Jika dibandingkan dengan Tank 700 biasa, versi baru ini tampil dengan dimensi keseluruhan yang lebih besar serta menawarkan susunan kabin yang lebih praktikal.

Tank 700 LWB mempunyai ukuran panjang 5,445 mm, lebar 2,126 mm dan tinggi 2,021 mm, dengan jarak roda sepanjang 3,150 mm. Ini bermakna versi tersebut 340 mm lebih panjang, 65 mm lebih lebar dan 36 mm lebih tinggi, selain jarak rodanya dipanjangkan sebanyak 150 mm berbanding Tank 700 biasa. Berat keseluruhan pula dilaporkan antara 3,396 hingga 3,480 kg, berbanding 3,110 kg bagi model standard.

Dari segi luaran, dokumen pemfailan MIIT menunjukkan Tank 700 LWB akan ditawarkan dengan beberapa pilihan reka bentuk rim aloi berdiameter antara 20 hingga 22 inci. Kemasan berwarna gangsa serta lencana tertentu turut digunakan bagi membezakan versi jarak roda panjang ini daripada model lima tempat duduk. Secara keseluruhan, reka bentuk asasnya masih mengekalkan penampilan lasak yang menjadi identiti Tank 700.

GWM Tank 700 LWB enam tempat duduk dalam dokumen pemfailan MIIT China – jarak roda lebih panjang 150 mm

Pertambahan panjang badan membolehkan ruang kabin Tank 700 LWB menempatkan enam penumpang dalam susunan 2-2-2. Baris kedua menggunakan kerusi individu jenis captain seat, sekaligus memberikan ruang dan keselesaan lebih baik kepada penumpang. Susunan sebegini juga membolehkan akses ke baris ketiga dibuat dengan lebih mudah berbanding konfigurasi tiga tempat duduk pada baris kedua.

Berdasarkan dokumen tersebut, Tank 700 LWB akan ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa. Pilihan pertama ialah sistem plug-in hybrid (PHEV) Hi4-Z menggunakan enjin turbo 2.0 liter, manakala satu lagi ialah enjin petrol V6 turbo 3.0 liter. Untuk versi Hi4-Z, enjin tersebut menghasilkan 248 hp dan 385 Nm, sebelum digabungkan dengan sistem hibrid dua motor.

Sistem hibrid berkenaan mendapat bekalan tenaga daripada bateri ternary lithium berkapasiti 59.05 kWh yang dibekalkan oleh Svolt. Ia memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 190 km mengikut kitaran CLTC, atau sekitar 154 km berdasarkan kitaran WLTP. Angka tersebut menjadikan versi LWB ini lebih sesuai untuk kegunaan harian dengan pemanduan elektrik sebelum enjin digunakan bagi perjalanan yang lebih jauh.

GWM Tank 700 LWB enam tempat duduk dalam dokumen pemfailan MIIT China – jarak roda lebih panjang 150 mm

Sebagai perbandingan, GWM Tank 700 Hi4-T dilancarkan di China pada Februari 2024 dengan sistem plug-in hybrid yang menggabungkan enjin petrol V6 turbo 3.0 liter dan motor elektrik. Sistem tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 523 PS serta tork maksimum 800 Nm. Enjin pembakaran dalaman sahaja menghasilkan 354 PS dan 560 Nm, manakala motor elektrik menghasilkan 163 PS dan 400 Nm.

Motor elektrik itu terbina pada transmisi automatik sembilan kelajuan dan menerima tenaga daripada bateri 37.1 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 100 km. Untuk pasaran China, Tank 700 versi lima tempat duduk kini ditawarkan pada harga bermula 428,000 yuan, bersamaan kira-kira RM257,917. Buat masa ini, belum diketahui sama ada versi LWB enam tempat duduk ini akan ditawarkan di luar China.