Mercedes-Benz memperkenalkan model kedua dalam siri Mythos, iaitu rangkaian kereta ultra-eksklusif dengan pengeluaran terhad, selepas Mercedes-AMG PureSpeed yang diperkenalkan pada Disember 2024 dan dihadkan kepada 250 unit. Model terbaru ini jauh lebih terhad, dengan hanya 30 unit akan dihasilkan untuk pelanggan terpilih.
Dikenali sebagai Mercedes-AMG CLE 646 Spezialanfertigung, model ini berasaskan CLE53 4MATIC+ Coupe, yang turut dilancarkan di Malaysia pada September tahun lalu. Selain menawarkan prestasi jauh lebih tinggi, reka bentuknya juga memberi bayangan awal mengenai rupa CLE facelift yang mungkin diperkenalkan pada masa akan datang. Menariknya, Spezialanfertigung dalam bahasa Jerman bermaksud “buatan khas”.
Lebih penting, CLE 646 dikuasakan enjin M177 Evo, iaitu versi dinaik taraf enjin V8 4.0 liter biturbo yang menjadi nadi kepada model-model AMG berprestasi tinggi sejak sedekad lalu. Kemunculan enjin ini juga menarik perhatian kerana terdapat laporan yang menyebut Mercedes-AMG mungkin mengembalikan enjin V8 untuk beberapa model akan datang, termasuk CLE63 yang masih belum diperkenalkan.
Enjin V8 crankshaft flat-plane itu menghasilkan 646 PS (637 hp atau 475 kW) pada 6,000 hingga 6,250 rpm serta tork maksimum 850 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm. Angka tersebut jauh mengatasi CLE53 yang menghasilkan 449 PS (443 hp atau 330 kW) dan 600 Nm. Bagi memastikan suhu operasi terkawal, enjin ini menggunakan tiga litar penyejukan berasingan serta sistem ekzos bertingkat yang dibangunkan bersama Akrapovic, dengan penggunaan titanium untuk mengurangkan berat.
Sebagai perbandingan, enjin M177 versi asal menggunakan crankshaft cross-plane, dengan talaan paling berkuasa sebelum ini digunakan pada Mercedes-AMG GT63 S 4-Door Coupe versi enjin pembakaran dalaman. Model tersebut menghasilkan 639 PS (630 hp atau 470 kW) dan 900 Nm. Pada CLE 646, enjin V8 itu turut dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 48 volt bersama penjana penghidup bersepadu (ISG).
ISG berkenaan mampu menyumbang tambahan 23 PS (23 hp atau 17 kW) serta 205 Nm, selain membantu proses pemulihan tenaga ketika membrek, pelayaran dan pengurusan beban enjin. Sistem tersebut turut membolehkan fungsi start-stop beroperasi dengan lebih lancar. Berbanding CLE53, perubahan paling ketara pada sistem pacuan ialah CLE 646 tidak lagi menggunakan pacuan semua roda.
Kuasa daripada enjin V8 itu disalurkan hanya kepada roda belakang menerusi transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan. Mercedes-AMG mendakwa CLE 646 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat, manakala 0-200 km/j mengambil masa hanya 11.4 saat. Kelajuan maksimum pula ditetapkan pada 310 km/j, menjadikannya jauh lebih ekstrem berbanding CLE53.
Bagi mengimbangi kuasa tersebut dengan keupayaan pengendalian, CLE 646 menggunakan suspensi coilover dengan spring yang dibangunkan bersama KW Automotive. Penyerap hentak boleh laras membolehkan tetapan lantunan dan mampatan kelajuan rendah serta tinggi ditala secara berasingan. Sistem brek AMG Ceramic High-Performance Composite turut menjadi kelengkapan standard.
Di hadapan, sistem brek tersebut menggunakan cakera 420 mm dengan angkup enam piston, manakala bahagian belakang mendapat cakera 360 mm bersama angkup terapung satu piston. Struktur badan turut diperkukuhkan di beberapa bahagian dan dilengkapi rollover bar bersepadu. Namun, penambahan ini menyebabkan tempat duduk belakang serta sebahagian bahan penebat bunyi dibuang untuk mengurangkan berat dan meningkatkan ketegaran badan.
Ketinggian kereta juga direndahkan sebanyak 22 mm di hadapan dan 16 mm di belakang berbanding CLE53. Ia menggunakan rim 20 inci dengan saiz tayar berbeza, iaitu 305/30R20 di hadapan dan 335/30R20 di belakang. Tayar tersebut pula dibangunkan daripada teknologi yang asalnya dicipta untuk Mercedes-AMG One dan hanya ditawarkan pada CLE 646. Sistem AMG Traction Control sembilan tahap turut membolehkan pemandu menentukan jumlah gelinciran roda yang dibenarkan.
Dari segi penampilan, CLE 646 memperkenalkan lampu luaran baru dengan motif bintang tiga penjuru yang disusun secara unik. Rekaan ini berpotensi digunakan pada varian CLE biasa apabila model tersebut menerima facelift nanti. Model khas ini juga mempunyai badan yang lebih lebar hasil pengubahsuaian menyeluruh pada struktur badan bagi meningkatkan ketegaran serta memberikan penampilan yang lebih agresif.
Mercedes-AMG menyatakan CLE 646 adalah 60 mm lebih lebar di bahagian hadapan dan belakang berbanding CLE53. Banyak komponen badan menggunakan gentian karbon, termasuk fender hadapan dengan liang udara, apron hadapan agresif dengan saluran udara besar dan diffuser boleh laras, skirt sisi, hud dengan skup udara, bumbung serta bampar belakang yang menempatkan diffuser bersepadu.
Penutup ruang bagasi yang diperkukuh juga diperbuat daripada gentian karbon dan menampilkan sokongan berbentuk trapezoid untuk sayap belakang yang boleh dilaras secara manual. Penggunaan bahan ringan diteruskan pada cermin sisi belakang dan cermin belakang yang diperbuat daripada polikarbonat, manakala bateri penghidup 12 volt yang lebih ringan turut digunakan bagi membantu mengurangkan berat keseluruhan.
Kemasan luaran pula menggunakan dua warna berbeza, dengan bahagian hadapan disalut warna Mojave Silver Magno sebelum bertukar kepada Obsidian Black Magno bermula dari tiang-B ke belakang. Lambang AMG pada pintu pemandu dan penumpang menjadi antara perincian yang menyerlah, manakala lencana “V8” pada liang udara fender mengesahkan enjin yang digunakan.
Dalam kabin, CLE 646 menerima panel pintu gentian karbon, tempat duduk bucket ultra-ringan serta stereng AMG Performance yang direka semula. Stereng ini mempunyai kawalan lebih ringkas kerana jumlah mod pemanduan dan sistem bantuan pemanduan telah dikurangkan, termasuk sistem Parktronic. Tali pinggang keselamatan six-point ditawarkan sebagai pilihan tambahan, sesuai dengan karakter model yang dibina khusus untuk prestasi tinggi dan hanya akan dihasilkan dalam jumlah 30 unit.












Mercedes-Benz AMG CLE
dari RM722,888
Mercedes-Benz CLA Electric
dari RM274,888
Mercedes-Benz EQV
dari RM450,350
Mercedes-Benz G-Class
dari RM958,888
Mercedes-Benz AMG GT
dari RM1,882,888
Mercedes-Benz Maybach EQS SUV
dari RM1,088,888
Mercedes-Benz AMG G-Class
dari RM1,948,888
Mercedes-Benz AMG GLC Coupe
dari RM498,888
Mercedes-Benz AMG GLE
dari RM1,191,888