Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval- VTA) bagi pendaftaran baharu Chery Omoda 5 digantung sementara. Ia susulan kes yang melibatkan model terbabit yang berlaku di Johor Bahru, minggu lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan berkenaan.
“Sebagai langkah pencegahan awal, JPJ akan menggantung sementara VTA yang berkaitan, sekali gus menangguhkan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dapat dikenal pasti. Tindakan ini akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat.
“Dalam masa sama, Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen (part number), kelompok pengeluaran (production batch), nombor casis (Vehicle Identification Number – VIN) serta parameter teknikal berkaitan. Pelaksanaan pemanggilan semula hendaklah dibuat terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau juga berkata, pihaknya akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan (production line) Chery Omoda 5 dan pembekal komponen gandar berkaitan, merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik (Good Manufacturing Practice – GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.
“Jabatan ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya. Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
“Penggantungan ini hanya akan ditarik balik setelah semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal daripada JPJ bahawa segala risiko keselamatan telah ditangani dengan sewajarnya,” tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, Omoda 5 sebenarnya sudah lagi tidak dijual di Malaysia. Ini kerana ia telah digantikan dengan model facelift dan ditukar nama sebagai Chery O5, di mana ia tidak lagi menggunakan sistem suspensi jenis torsion beam di belakang, dan digantikan dengan sistem jenis multilink yang menggunakan gandar yang berlainan sepenuhnya. Penjualan Chery O5 tidak terjejas dengan penggantungan Chery Omoda 5 ini.









Chery Omoda E5
dari RM146,800
Chery Tiggo 9
dari RM166,800
Chery Tiggo 8
dari RM159,800
Chery Tiggo 7
dari RM129,400
Chery O5
dari RM116,800
Chery Tiggo Cross
dari RM88,800