Ini adalah salah satu konsep siri jelajah yang boleh dikatakan ‘comel teramat’ yang pernah kami lihat. ‘Awan bergerak’ berserta ‘hujan’ yang dibawa oleh Mitsubishi Xforce berjaya menarik perhatian ramai. Apatah lagi sekarang ini dalam keadaan jerebu yang sedang melanda negara kita, pastinya ‘cuaca hujan’ sangat kita dambakan. Datanglah pula ‘hujan’ ala Xforce sebegini…

Mitsubishi Xforce Roving Cloud digambarkan sebagai pengalaman interaktif yang diinspirasikan oleh keyakinan yang diberikan oleh Xforce ketika dipandu di jalan basah. SUV segmen-B keluaran Mitsubishi ini dilengkapi ciri unik Wet Mode, yang berfungsi bersama Active Yaw Control bagi “memberikan keyakinan lebih tinggi ketika memandu dalam keadaan jalan basah”.

Berlangsung dari 16 hingga 29 Oktober, Xforce Roving Cloud akan mengunjungi beberapa lokasi tumpuan terpilih di Lembah Klang pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pandu uji turut disediakan di lokasi terpilih, termasuk menerusi acara paultan.org ACE 2026 yang akan berlangsung di Setia City Convention Centre dari 31 Oktober hingga 1 November.

Mitsubishi Xforce Roving Cloud bawakan ‘cuaca hujan’ ke seluruh Lembah Klang, juga bakal berada di ACE 2026

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan peraduan Xforce Roving Cloud: Snap & Win, yang mengajak rakyat Malaysia mencari awan pada sebuah kereta, mengambil gambar dan berkongsi momen tersebut di media sosial. Perkongsian boleh dibuat menerusi Instagram Stories atau Facebook Stories dengan menggunakan tanda pagar #XforceRovingCloud. Peserta juga perlu mengikuti akaun rasmi Instagram atau Facebook MMM.

Peraduan ini akan berlangsung dengan dua pusingan, iaitu dari 16 Oktober hingga 1 November, dan dari 13 hingga 30 November. Seramai 20 pemenang akan menerima hadiah bernilai sehingga RM10,000, termasuk kotak penyimpanan untuk perkhemahan, kotak penyejuk, troli perkhemahan, kerusi utiliti Poler, tilam angin perkhemahan serta tambah nilai Touch ‘n Go bernilai RM50. Pemenang bagi setiap pusingan akan diumumkan pada 6 November dan 3 Disember.

Bagi mereka yang berkunjung ke ACE 2026, jangan lepaskan peluang untuk melihat pakej terbaharu ‘777’ bagi Xforce. Pakej ini merangkumi waranti tujuh tahun tanpa had perbatuan, servis buruh percuma selama tujuh tahun bagi penyelenggaraan berjadual, serta alat ganti percuma selama tujuh tahun.