View on Threads

Seperti yang kita tahu, Proton belum habis lagi dengan S70 walaupun sudah melancarkan model MC1 dengan enjin 1.5L empat silinder turbo pada awal tahun ini dan kemudian MC2 dengan enjin 1.5L empat-silinder NA bulan lalu. Ini kerana ada satu lagi versi S70 yang akan diperkenalkan tidak lama lagi iaitu MC2 Turbo facelift yang dijangka akan menampilkan perubahan lebih besar pada sebelah luar berbanding versi sedia ada, dan unit prototaip versi berkenaan dilihat aktif diuji di atas jalan raya akhir-akhir ini.

Namun di Threads, ada satu lagi khabar sedang bertiup di mana versi MC2 Turbo facelift berkenaan akan diperkenalkan dengan varian baharu yang digelar sebagai RS. Perkara ini disebut oleh satu akaun Threads dengan nama ‘cikguherlinabintihusin’, yang disertakan dengan dua gambar sebuah S70 yang dibawa di atas lori pengangkut.

Unit berkenaan dilihat menampilkan cermin sisi dan juga pembuka pintu dalam kemasan hitam, sementara bahagian sisi belakang dan juga rim masih di lekat dengan pelekat pelindung. Akaun berkenaan mendakwa unit tersebut adalah S70 RS yang akan menerima perubahan rupa luaran serta dalaman seiras X50 facelift. Perubahan dalaman tersebut juga dikatakan akan diberikan pada S70 Flagship dan S70 Flagship X.

Namun kalau anda lihat kedua-dua gambar berkenaan, ia mungkin adalah janaan AI kerana kedudukan perkataan ‘KENDERAAN PANJANG & LEBAR’ pada treler tersebut berbeza pada kedua-dua gambar. Malah pada gambar sebelah kiri terdapat perkataan ‘AWAS’ sedangkan pada gambar kanan tiada.

View on Threads

Namun ada satu lagi akaun Threads yang mendedahkan maklumat lebih real – akaun dengan nama suhairil sempat mengambil gambar unit prototaip ujian S70 MC2 Turbo facelift dengan pintu terbuka di sebuah stesen minyak. Menerusi sedikit ruang yang terbuka berkenaan dapat dilihat unit tersebut diberikan konsol tengah berwarna merah sama seperti X50 facelift.

Bahagian dalaman X50 facelift yang dilancarkan pada bulan Julai tahun lalu tersebut merupakan rekaan yang dibuat oleh Proton sendiri. Ia menampilkan papan pemuka dan konsol tengah yang lebih ringkas menampilkan skrin paparan instrumen nipis tanpa perumah, dan tombol gear konvensional juga ditukar kepada tuil gear pada kolum stereng ala-Mercedes-Benz. Dengan terdedah imej terbaharu ini, mungkin benar desas-desus bahawa S70 turut akan diberikan papan pemuka dan konsol tengah yang sama?

Unit ujian yang dilihat kali ini masih menampilkan rupa luaran yang sama seperti yang kami temui di Tanjong Malim bulan lalu. Ia menampilkan lampu hadapan yang digelapkan bersama gril dan bampar hadapan baharu, rekaan belakang yang mungkin diubah pada bahagian lampu dan bampar, rim aloi ala-BBS serta angkup brek dalam kemasan merah.

Proton sebelum ini sudah mengesahkan bahawa masih ada dua model baharu yang akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini. Yang pertama kemungkinan besar adalah Proton Saga Cross/X30 yang baru-baru ini muncul dengan penyamaran lebih ringkas, dan satu lagi mungkin Proton S70 MC2 Turbo facelift ini.

GALERI: Spyshot Proton S70 MC2 Turbo facelift

Tags: