Selepas hanya dua bulan dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Moda Sporter S SKII kini diperkenalkan dalam warna baru melalui versi SE, dijual pada harga RM18,298 tidak termasuk insurans. Harga ini adalah lebih tinggi RM300 berbanding model standard yang dilancarkan Ogos lalu.
Menjadi keistimewaan model ini adalah penampilannya, menggunakan warna yang dipanggil sebagai Black Cayenne, gabungan hitam pada kebanyakan bahagian, bersama jalur merah, termasuk pada tempat duduk. Bahagian lain kelihatan seperti tiada perubahan.
Moda Sporter S SKII dipacu oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api bersama transmisi CVT tali sawat, mampu menghasilkan kuasa 24.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 13 liter, sementara ciri keselamatan terdiri daripada brek ABS dual-channel dan kawalan cengkaman.
Informasi penting skuter ini boleh dilihat melalui skrin TFT tujuh inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk memaparkan informasi termasuk navigasi, kawalan muzik dan pemerhati tekanan angin tayar. Melalui skrin ini juga penunggang boleh melihat rakaman daripada kamera hadapan HD dan pilihan paparan boleh dibuat melalui kawalan sesentuh. Turut disediakan adalah penghadang angin boleh laras secara elektronik.
Bahagian suspensi terdiri daripada fork USD di hadapan dan dua penyerap hentak dengan tabung di belakang, manakala brek menggunakan set cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang. Turut disediakan adalah soket pengecas USB A dan C, dua poket barangan di bahagian bawah pemegang, ruang simpanan bawah tempat duduk, kunci pintar serta padanan rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang.
GALERI: Moda Sporter S SKII








