Tidak sampai sebulan X5 generasi kelima (G65) membuat penampilan pertama, BMW kini memperkenalkan pula versi jarak roda panjang (LWB) khas untuk pasaran China. Sama seperti model sebelumnya, varian ini tidak dipasang di kilang Spartanburg, South Carolina di Amerika Syarikat, sebaliknya oleh rakan usaha sama BMW Brilliance di Shenyang, China.
Perubahan paling ketara sudah tentu melibatkan jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 130 mm kepada 3,165 mm. Ini menjadikan panjang keseluruhan X5 L kini mencecah 5,124 mm, sekaligus melepasi ukuran lima meter. Pertambahan dimensi itu paling jelas dilihat dari bahagian sisi, dengan pintu belakang yang jauh lebih panjang, tetapi cuba disamarkan menerusi rekaan lengkuk roda pada fender belakang.
Dari aspek reka bentuk, BMW mengekalkan ciri Neue Klasse yang diperkenalkan pada X5 serba baru. Bahagian hadapan masih menampilkan gril bercahaya Iconic Glow yang besar, namun grafik lampu utama berbentuk huruf “X” yang menerima pelbagai reaksi sebelum ini tidak lagi digunakan. Sebaliknya, hanya jalur penjuru pada lampu diberikan pencahayaan, meskipun bentuk keseluruhan lampu masih mengekalkan elemen tersebut.
Pembeli masih boleh mendapatkan semula grafik lampu “X” itu sebagai pilihan tambahan. Menariknya, jalur menegak pada gril hadapan yang hanya dikhaskan untuk varian M Performance di pasaran lain kini dijadikan kelengkapan standard untuk pasaran China.
Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah penggunaan pemegang pintu jenis “wingtip” yang masih dikekalkan, walaupun China bakal menguatkuasakan larangan penggunaan sistem pembuka pintu elektronik sepenuhnya bermula tahun hadapan. Ini memberi bayangan bahawa BMW mungkin telah mereka semula sistem tersebut dengan mekanisme pelepas mekanikal, sekaligus membolehkannya terus digunakan pada model-model akan datang.
Perubahan luaran lain termasuk kemasan corak huruf “L” pada tingkap kecil belakang serta bahagian tengah bampar hadapan yang kini dicat mengikut warna badan, menggantikan kemasan hitam berkilat sebelum ini. Ciri tersebut diberikan kepada kedua-dua versi standard dan M Sport.
Di ruang kabin, BMW meneruskan konsep Neue Klasse dengan susun atur Panoramic iDrive. Ia menampilkan skrin infotainmen terapung bersaiz 17.9 inci, paparan Panoramic Vision yang dipancarkan merentasi bahagian bawah cermin hadapan, serta skrin penumpang hadapan 14.6 inci yang ditawarkan sebagai pilihan. Kemasan premium seperti kawalan kristal dan trim batu slate yang pertama kali digunakan oleh BMW turut dikekalkan.
Bagi memenuhi citarasa pengguna China, X5 L menerima skema warna dalaman monokrom dengan pilihan putih atau coklat terracotta yang bukan sahaja digunakan pada tempat duduk, malah turut meliputi stereng dan lapisan bumbung. BMW turut mereka semula tempat duduk hadapan dan belakang, termasuk menambah tempat rehat kaki binaan dalam untuk penumpang belakang bagi meningkatkan tahap keselesaan.
Kemuncak kepada kemas kini kabin ialah skrin Theatre Screen 8K generasi baru yang diambil terus daripada BMW 7 Series facelift. Selain itu, sama seperti iX3 L, X5 L turut dilengkapi sistem pemanduan automatik tahap tinggi “Address-to-Address” yang mampu mengendalikan pemanduan di kawasan bandar dan lebuh raya. Sistem ini dibangunkan bersama syarikat kecerdasan buatan (AI) dari China, Momenta.
BMW masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal penuh, namun X5 L dijangka ditawarkan dalam varian 40L. Ini bermakna ia berkemungkinan menggunakan enjin enam silinder sebaris turbo 3.0 liter B58 yang menghasilkan 400 PS dan 540 Nm, dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt serta transmisi automatik ZF lapan kelajuan.
Model itu turut akan disertai oleh versi elektrik sepenuhnya, iX5 60L. Ia dijangka mengekalkan sistem pacuan dua motor berkuasa 578 PS dan 805 Nm bersama bateri NMC berkapasiti 141 kWh. BMW mendakwa SUV elektrik itu mampu mencapai jarak sehingga 1,000 km mengikut kitaran ujian China, yang dianggarkan bersamaan sekitar 820 km mengikut piawaian WLTP. Sebagai perbandingan, iX5 60 versi standard mempunyai jarak rasmi WLTP sehingga 845 km.
Walaupun dibangunkan khas untuk pasaran China, iX5 60L dilihat berpotensi memasuki pasaran Malaysia pada masa depan. Ini disebabkan model elektrik yang diimport dari China menikmati kadar cukai lebih rendah berbanding model yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat. Jika menjadi kenyataan, ia bakal mengikut jejak iX3 L yang dijangka diperkenalkan tidak lama lagi, dan mungkin juga i3 L, sebelum pemasangan tempatan (CKD) dilaksanakan pada peringkat seterusnya.











BMW X5
dari RM470,800
BMW M3 Touring
dari RM898,800
BMW iX1 L
dari RM252,800
BMW iX
dari RM425,800
BMW X3
dari RM325,800
BMW M5
dari RM1,200,800
BMW M4 Coupe
dari RM878,800
BMW 2 Series Gran Coupe
dari RM173,800
BMW 3 Series
dari RM267,800