Daihatsu Rocky Hybrid ACTIVe yang sedang dipertontonkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 ini memang cukup menarik kerana memiliki gabungan warna yang ‘wow’.
Tetapi..ia bukan untuk dijual, sebaliknya hanya untuk dipertontonkan bagi memberikan insipirasi kepada pemilik Rocky (atau Perodua Ativa di pasaran kita), yang ingin membuatkan kereta anda lebih menarik dengan gabungan warna ‘Blue Chameleon’ dan ‘Glossy Lemon Yellow’…walau pun mungkin ada lagi gabungan warna yang lebih berpadanan.
Pilihan warna yang cukup menyerlah ini dapat dilihat pada beberapa bahagian luaran kenderaan, termasuk bumbung, cermin sisi dan rim. Pada rim yang dilengkapi penutup aerodinamik itu, tertera tulisan ‘ADM Pako’, hasil kerjasama antara Astra Daihatsu Motor dan Pako Wheels.
Di dalamnya, rona biru dan kuning yang sama diberikan pada konsol tengah, pemegang pintu, keliling corong udara dan juga tempat duduk.
Dilancarkan di Indonesia hampir setahun lalu menerusi acara yang sama, Daihatsu Rocky Hybrid berharga Rp300 juta (kira-kira RM68,000) ini menggunakan motor elektrik berkuasa 106 PS dan tork 170 Nm, serta enjin 1.2 liter WA-VEX tiga-silinder kitaran Atkinson tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 82 PS dan 105 Nm.
Enjin tersebut tidak memacu roda secara langsung, sebaliknya berfungsi semata-mata untuk mengecas bateri sistem hibrid. Model ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, berbeza dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE) yang dipasang secara tempatan (CKD) di Indonesia.
Pada Mei lalu, Perodua telah mengesahkan bahawa model Ativa Hybrid akan memasuki pasaran Malaysia, dan syarikat itu kini sedang memuktamadkan beberapa perkara termasuk jadual pengeluaran serta penetapan harga sebelum pengumuman rasmi dibuat. Ia adalah selepas empat tahun Ativa Hybrid yang diperkenalkan kepada 300 pelanggan menerusi program langganan pada tahun 2022 yang sebenarnya merupakan model import sepenuhnya berasaskan Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid.








