smart #2 didedah melalui lukisan – EV bandar dua tempat duduk dengan WLTP 300 km, akan diperkenal 12 Okt

Selepas ditunjuk awal menerusi Concept #2 di Beijing April lalu, smart kini semakin menghampiri pelancaran rasmi model #2 apabila promosinya mula dibuat menerusi mural yang dipaparkan di beberapa bandar utama dunia. Model produksi itu dijadual membuat penampilan sulung di Paris Motor Show 12 Oktober ini, seterusnya menjadi pengganti kepada fortwo.

Seperti dijangka, versi produksi tampil dengan rekaan yang lebih realistik berbanding kereta konsep. Beberapa elemen seperti rim bersaiz besar, tayar berwarna putih, grafik lampu berbentuk tanda tambah, pemegang pintu kulit dan kemasan emas tidak lagi digunakan, tetapi identiti asas Concept #2 masih dikekalkan menerusi rekaan lampu hadapan, gril hadapan serta bumbungnya.

Bahagian kabin masih belum didedahkan, namun smart mengesahkan #2 akan menggunakan papan pemuka berbentuk S seperti fortwo generasi terdahulu. Ia juga menerima tempat duduk hadapan jenis bersambung dengan ruang simpanan tertutup, manakala suis kawalan tingkap diletakkan di konsol tengah.

Dari sudut mekanikal, #2 dibina di atas platform Electric Compact Architecture (ECA) yang dibangunkan khusus untuk model elektrik. Ia turut menggunakan struktur keselamatan tridion yang telah direka semula bagi meningkatkan tahap perlindungan ketika pelanggaran.

Pek bateri berkapasiti 35.7 kWh dipasang di bawah lantai dan disasarkan mampu memberikan jarak pemanduan sekitar 300 km mengikut kitaran WLTP. Menurut smart, bateri itu boleh dicas daripada 10% hingga 80% menggunakan pengecas pantas DC dalam tempoh kurang 20 minit.

Dengan panjang keseluruhan 2,792 mm, smart #2 turut mempunyai jejari pusingan hanya 6.95 meter, sekaligus memudahkan kendalian di kawasan sempit. Memandangkan smart kini diwakili di Malaysia oleh Pro-Net yang merupakan anak syarikat Proton, tidak mustahil #2 turut akan ditawarkan di sini pada masa hadapan. Jika itu berlaku, ia bakal menjadi alternatif kepada Proton eMas 5 dalam segmen hatchback elektrik kompak.