Toyota mempamerkan Land Cruiser Hybrid 2026 buat pertama kali di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026, dengan dua varian ditawarkan untuk pasaran negara itu iaitu VX-R dan GR Sport (GR-S). Harga yang ditetapkan adalah bermula 2.716 bilion rupiah (sekitar RM619,786) untuk VX-R dan 2.816 bilion rupiah (sekitar RM642,615) untuk GR-S.
Kedua-dua varian menggunakan sistem hibrid selari yang menggabungkan enjin petrol V6 3.5 liter turbo berkod V35A-FTS bersama sebuah motor elektrik yang dipasang di antara enjin dan transmisi automatik 10-kelajuan. Enjin berkenaan menghasilkan 305 kW (415 PS) dan 650 Nm, manakala motor elektrik menyumbang 36 kW (49 PS) serta 250 Nm.
Sistem hibrid itu menggunakan bateri jenis nickel metal hydride (NiMH). Dari segi sistem pacuan, varian VX-R dilengkapi limited-slip differential (LSD) belakang dengan pengesan tork, sementara GR-S menerima differential hadapan dan belakang yang boleh dikunci bagi meningkatkan keupayaan pemanduan lasak.
Sebagai perbandingan, Toyota turut menawarkan Land Cruiser Siri 300 versi diesel di Indonesia. Varian VX-R dijual pada harga bermula 2.636 bilion rupiah (sekitar RM601,604), manakala GR-S bermula pada 2.716 bilion rupiah (sekitar RM619,786).
Model diesel menggunakan enjin V6 turbodiesel 3.3 liter yang menghasilkan 306 PS dan 700 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan yang sama. Versi hibrid turut menerima tangki bahan api berkapasiti 98 liter, lebih besar berbanding 80 liter pada model diesel.
Dari segi casis, Land Cruiser Hybrid mengekalkan suspensi hadapan jenis double wishbone dan suspensi belakang four-link, bersama sistem Adaptive Variable Suspension (AVS). Untuk kegunaan off-road, ia dilengkapi Auto Multi-Terrain Select (MTS), Turn Assist dan Crawl Control. Sudut mendaki, sudut melepasi bonggol dan sudut menurun masing-masing ialah 30 darjah, 25 darjah dan 20 darjah.
Dari segi penampilan, perbezaan antara Land Cruiser Hybrid dan versi diesel adalah minimum. Varian VX-R menerima rekaan baru pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, manakala kedua-dua varian VX-R dan GR-S dibezakan menerusi lencana HEV pada pintu hadapan serta pintu belakang.
Di ruang kabin, Land Cruiser Hybrid dilengkapi paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci bersama skrin infotainmen tengah 12.3 inci. Varian VX-R didatangkan dengan kemasan dalaman hitam, manakala GR-S ditawarkan sama ada dalam warna hitam sepenuhnya atau gabungan merah dan hitam. Kelengkapan lain termasuk pengecas peranti tanpa wayar dan perakam video digital (DVR).
Dari aspek keselamatan, SUV ini menerima pakej Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi sistem pra-pelanggaran, amaran keluar lorong, pengesanan pejalan kaki menerusi kamera belakang, lampu tinggi adaptif serta cruise control radar dinamik.
GALERI: Toyota Land Cruiser Hybrid VX-R
GALERI: Toyota Land Cruiser Hybrid GR-S










Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800
Toyota Alphard
dari RM548,000