Subaru Outback 2026 di GIIAS – gen-7 dengan 2.5L NA boxer 4-silinder, CVT, AWD; dari RM234k di Indonesia

Subaru Outback generasi ke-tujuh telah pun dipertontonkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS 2026), yang menandakan perubahan daripada bentuk lifted station wagon yang menjadi identiti model tersebut sejak diperkenalkan, termasuk pada versi facelift generasi keenam yang dilancarkan pada 2022.

Di Indonesia, Subaru Outback baharu ditawarkan pada harga bermula 1.025 bilion rupiah (RM233,966) dan dilengkapi enjin boxer 2.5 liter naturally aspirated empat-silinder yang menghasilkan 180 hp dan 241 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik CVT yang menawarkan lapan nisbah gear maya, serta sistem pacuan semua roda (AWD) sepenuh masa. Di pasaran lain seperti Amerika Syarikat, model ini turut ditawarkan dengan enjin boxer 2.4 liter turbo empat-silinder yang menghasilkan 260 hp dan 376 Nm.

Outback generasi ketujuh masih mengekalkan kemasan pelindung badan (body cladding) yang telah menjadi elemen ikonik reka bentuknya, termasuk di sekeliling gerbang roda dan pada bahagian bawah pintu. Bahagian hadapan kini tampil dengan reka bentuk yang lebih tegak bagi menyerlahkan imej yang lebih lasak, manakala di bahagian belakang, nama model dipaparkan dengan lebih menonjol pada tailgate.

Subaru Outback 2026 di GIIAS – gen-7 dengan 2.5L NA boxer 4-silinder, CVT, AWD; dari RM234k di Indonesia

Bagi memastikan ia bersedia untuk kegunaan lasak, Subaru Outback didatangkan secara standard dengan rel bumbung yang mempunyai kapasiti beban statik sehingga 363 kg, manakala kapasiti beban dinamiknya ialah 100 kg. Ketika pelancarannya, Subaru turut memaklumkan bahawa rel bumbung Outback buat pertama kalinya dilengkapi kapasiti beban sisi sehingga 100 kg pada crossbar, sekali gus membolehkan hammock digantung di situ.

Di bahagian kabin, Outback generasi ketujuh menampilkan perubahan ketara pada reka bentuk papan pemuka berbanding model terdahulu. Model baharu ini dilengkapi skrin sentuh infotainmen 12.1-inci yang dipasang secara mendatar dan menyokong Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar, menurut Kompas. Ini berbeza dengan Outback generasi keenam yang menggunakan skrin 11.6-inci berorientasi menegak.

Susun atur baharu itu juga mengekalkan kawalan penyaman udara yang berasingan daripada skrin infotainmen, dengan penggunaan butang dan tombol fizikal. Selain itu, corong penyaman udara kini dipasang secara mendatar di bawah skrin, berbanding susun atur menegak di kedua-dua sisi skrin pada model terdahulu. Pemandu pula menerima paparan kluster instrumen digital bersaiz 12.3-inci.

Dimensi badan yang lebih besar memberikan lebih banyak ruang dalaman. Justeru, Outback generasi terbaharu menawarkan ruang kargo sehingga 980 liter, hasil daripada garisan bumbung yang 51 mm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ruang kargo itu sendiri juga 51 mm lebih tinggi, manakala lebar lantai ruang muatan kini mencecah 1,100 mm.

Dari segi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), Outback untuk pasaran Indonesia dilengkapi pakej EyeSight yang menggunakan tiga kamera stereo, empat unit radar dan empat sensor undur. Antara fungsi bantuan pemanduan yang ditawarkan ialah Emergency Pre-Collision Steering dan Pre-Collision Throttle Management, selain Driver Monitoring System serta Posture Impairment Warning yang memantau keadaan pemandu, menurut Kompas. Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi sembilan beg udara, termasuk beg udara tengah yang mengembang di antara pemandu dan penumpang hadapan.

Di Malaysia, Subaru Outback yang disenaraikan di laman web Subaru Malaysia ketika ini ialah model generasi keenam versi pra-facelift, yang dijual pada harga RM279,000 dan telah dilancarkan pada September 2024. Adakah anda ingin melihat model Outback generasi ketujuh ini ditawarkan di Malaysia?