Jaguar Type 01 – bahagian dalam didedah sebelum penampilan rasmi 6 Okt, empat tempat duduk berasingan

Jaguar bakal memulakan lembaran baru menerusi Type 01, model produksi pertama yang lahir daripada perubahan besar jenama itu. Versi sebenar Type 01 akan diperkenalkan di New York pada 6 Oktober ini, selepas model konsep Type 00 mencetuskan pelbagai reaksi ketika didedahkan pada Disember 2024.

Sebelum pelancaran rasminya, Type 01 akan muncul sebagai prototaip dengan kemasan penyamaran baru sempena Monterey Car Week. Penampilan tersebut akan diteruskan sehingga acara Pebble Beach Concours pada 16 Ogos, sekaligus memberikan gambaran lebih jelas mengenai arah reka bentuk Jaguar untuk masa akan datang.

Kini, Jaguar mendedahkan buat pertama kali bahagian dalaman Type 01. Pengeluar Britain itu menggambarkan reka bentuk kabin sebagai “drama seni bina”, dengan inspirasi daripada “keindahan batu travertine yang kekal serta tekstur mewah fabrik buatan tangan.”

Jaguar Type 01 – bahagian dalam didedah sebelum penampilan rasmi 6 Okt, empat tempat duduk berasingan

Elemen paling menonjol ialah struktur tengah yang bersambung sepanjang kabin. Rekaan ini turut digunakan pada konsep Type 00 dan berfungsi membentuk empat ruang individu untuk penumpang. Struktur tersebut menerima kemasan berinspirasikan loyang yang turut digunakan pada bahagian atas panel pintu.

Logo Jaguar berbentuk ‘leaper’ turut ditempatkan pada kemasan di bahagian pintu. Gabungan bahan dan kemasan berkenaan memberikan sedikit sentuhan mewah pada kabin yang tampil minimalis dan futuristik.

Di hadapan pemandu, papan pemuka direka memanjang dan berakhir pada sebuah skrin besar yang kelihatan menggabungkan paparan instrumen serta sistem infotainmen. Sebuah lagi skrin sentuh ditempatkan pada struktur tengah untuk memberikan akses pantas kepada fungsi pendingin hawa dan sistem media.

Jaguar Type 01 – bahagian dalam didedah sebelum penampilan rasmi 6 Okt, empat tempat duduk berasingan

Type 01 turut menggunakan stereng dua jejari dengan reka bentuk berukir, tempat duduk berkemasan licin serta bumbung kaca panoramik yang besar. Jaguar turut menyatakan kabin ini mempunyai ruang simpanan tersembunyi, teknologi yang hanya muncul apabila diperlukan dan beberapa kemasan warna yang tidak dijangka.

Satu perkara yang jelas kelihatan ialah ketiadaan cermin pandang belakang dalaman. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Type 01 tidak mempunyai cermin belakang konvensional. Sebagai gantinya, Jaguar menggunakan sistem ‘ClearSight Rear View Display’.

Sistem tersebut menggunakan paparan digital yang ditempatkan di bahagian tengah, pada dasar cermin hadapan. Paparan itu menunjukkan imej daripada kamera yang menghadap ke belakang, menggantikan fungsi cermin pandang belakang biasa.

Jaguar Type 01 – bahagian dalam didedah sebelum penampilan rasmi 6 Okt, empat tempat duduk berasingan

Menurut Jaguar, kedudukan skrin tersebut adalah pada ketinggian yang sama dengan cermin sisi. Susunan itu direka supaya pemandu boleh melihat keadaan di belakang dengan lebih mudah sambil mengekalkan fokus ketika memandu.

“Jaguar Type 01 ialah kereta produksi pertama yang mengikuti falsafah kreatif baru kami. Ia mempunyai identiti yang tidak dapat disalah anggap dari setiap sudut, dan bahagian dalamannya juga tidak terkecuali. Dengan Type 01, kami mahu setiap perjalanan menjadi satu pengalaman istimewa, daripada cara ia dipandu kepada penampilannya dan perasaan yang ditimbulkannya. Dengan posisi pemanduan GT yang memberikan keyakinan, teknologi yang kemas serta canggih dan reka bentuk yang dramatik, Type 01 mempunyai ruang dalaman yang tiada tandingan,” kata pengarah urusan Jaguar, Rawdon Glover.

Dari segi kejuruteraan, Type 01 akan menjadi model Jaguar pertama yang menggunakan seni bina elektrik khusus Jaguar Electric Architecture (JEA). Model elektrik sepenuhnya ini akan direka, dibangunkan dan dihasilkan di United Kingdom.