Tesla panggil balik 20,349 kenderaan di AS kerana lampu rendah terlebih terang, libatkan Model 3 dan Model Y

Tesla mengeluarkan arahan panggil semula (recall) melibatkan 20,349 kenderaan di Amerika Syarikat (AS) berikutan masalah pada sistem lampu utama, lapor Autoblog. Menurut laporan keselamatan yang diterbitkan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) pada 4 Ogos 2026, lampu rendah (low beam) pada kenderaan terjejas berpotensi menghasilkan cahaya yang terlalu terang pada bahagian penjuru atas corak pencahayaan.

Keadaan itu didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan persekutuan AS. NHTSA turut menyatakan cahaya berlebihan berkenaan boleh menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya, khususnya pemandu dari arah bertentangan yang mungkin mengalami penglihatan terjejas akibat silauan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,735 unit melibatkan Model Y yang dihasilkan antara 11 Februari 2020 hingga 24 Disember 2023. Sebanyak 1,614 unit lagi membabitkan Model 3 yang dikeluarkan antara 24 Julai 2017 hingga 2 Disember 2023.

Menurut Electrek, piawaian persekutuan menetapkan tahap kecerahan maksimum pada 125 candela. Bagaimanapun, lampu utama Tesla yang diuji didapati boleh mencapai sehingga 230.1 candela, iaitu jauh melebihi had yang ditetapkan.

Tesla panggil balik 20,349 kenderaan di AS kerana lampu rendah terlebih terang, libatkan Model 3 dan Model Y

Isu ini sebenarnya bukan perkara baru bagi Tesla. Pengeluar kenderaan elektrik itu telah mengetahui mengenai masalah berkenaan sejak 2024 dan pada ketika itu memaklumkan kepada NHTSA bahawa kira-kira 19,900 unit Model Y dan Model 3 terjejas. Namun, Tesla berpendapat masalah tersebut tidak memberi kesan ketara terhadap keselamatan kenderaan dan tidak memerlukan tindakan panggil semula atau pemberitahuan kepada pemilik.

Pada 17 Julai tahun ini, Tesla menerima keputusan NHTSA yang menolak permohonan syarikat untuk menganggap ketidakpatuhan tersebut sebagai tidak mempunyai kesan terhadap keselamatan. Dengan keputusan itu, Tesla perlu melaksanakan proses panggil semula bagi kenderaan yang terjejas.

Panggilan semula berkaitan lampu utama ini hadir hanya beberapa hari selepas NHTSA membuka siasatan awal terhadap kira-kira 1.2 juta kenderaan Tesla berhubung laporan kerosakan sistem suspensi yang berpotensi menyebabkan pemandu hilang kawalan stereng.

Setakat ini, sebanyak 156 aduan telah diterima berkaitan masalah tersebut. Aduan berkenaan mendakwa komponen lower lateral link hadapan pada sesetengah Model 3 keluaran 2018 hingga 2020 dan Model Y keluaran 2021 hingga 2023 boleh tercabut. Siasatan berkenaan masih di peringkat awal dan berasingan daripada kempen panggil semula melibatkan lampu utama ini.

Baru beli Tesla? Anda perlu memastikan ia mempunyai nota perlindungan insurans 7 hari sebelum hari penghantaran. Anda boleh gunakan perkhidmatan Insurans Tesla kami untuk menginsuranskannya.