Mitsubishi Pajero 2027 akan dilengkapi teknologi S-AWC

Mitsubishi Pajero generasi kelima yang dijangka membuat kemunculan sulung pada musim luruh tahun ini (biasanya antara September hingga November di Jepun) terus didedahkan secara berperingkat. Terbaru, Mitsubishi mengesahkan model SUV lasak itu akan dilengkapi teknologi Super-All Wheel Control (S-AWC), sekaligus menjanjikan keupayaan pacuan semua roda yang lebih menyeluruh.

Teknologi S-AWC bertanggungjawab mengurus pengagihan tork serta dinamik kenderaan pada keempat-empat roda. Sistem ini mula diperkenalkan menerusi Lancer Evolution X sebelum dikembangkan kepada beberapa model Mitsubishi lain seperti Outlander dan Eclipse Cross. Triton terbaru juga menggunakan teknologi sama dalam usaha meningkatkan keupayaan pacuan dan kawalan kenderaan.

Mitsubishi sebelum ini menjelaskan bahawa Triton generasi ketiga merupakan model pertama syarikat yang menggunakan S-AWC pada kenderaan berasaskan binaan body-on-frame. Pendekatan sama bakal diteruskan pada Pajero baru yang akan dibangunkan berasaskan Triton terkini serta menggunakan struktur ladder frame sepenuhnya.

Mitsubishi Pajero 2027 akan dilengkapi teknologi S-AWC

Pada Pajero, sistem S-AWC yang turut merangkumi Active Yaw Control (AYC) berasaskan brek akan digabungkan dengan sistem Super Select 4WD-II. Teknologi berkenaan menawarkan beberapa mod pemanduan mengikut keadaan permukaan, selain membolehkan pemandu memilih pacuan roda belakang, pacuan empat roda sepenuh masa, nisbah gear rendah serta fungsi differential boleh kunci.

Dengan pengalaman Mitsubishi dalam perlumbaan rali, khususnya menerusi Triton, gabungan sistem pacuan tersebut dijangka memberikan keupayaan yang kukuh untuk Pajero generasi baru. Penggunaan teknologi yang telah terbukti pada model sedia ada juga boleh membantu SUV berkenaan mengekalkan identitinya sebagai kenderaan yang mampu menangani laluan mencabar.

Mitsubishi Pajero 2027 akan dilengkapi teknologi S-AWC

Bagi struktur ladder frame pula, Mitsubishi berkata ia akan dipadankan dengan sistem suspensi yang direka untuk memberikan keseimbangan antara keupayaan lasak dan keselesaan pemanduan. Ketika meredah kawasan off-road, suspensi itu dikatakan mampu menangani permukaan kasar, bonggol besar serta hentakan yang ketara tanpa menjejaskan kawalan kenderaan.

Pada masa sama, talaan suspensi tersebut turut memberi perhatian kepada pemanduan atas jalan raya. Pergerakan badan dan getaran yang tidak diperlukan akan dikurangkan ketika melalui jalan kasar atau tidak rata, sekaligus membantu meningkatkan keselesaan penumpang serta mengurangkan keletihan ketika perjalanan jarak jauh. Dengan pelancaran yang semakin hampir, lebih banyak maklumat mengenai Pajero baru dijangka didedahkan dalam tempoh akan datang.