Honda Hybrid diumum sebagai nama baru unit rangkaian kuasa generasi baharu petrol-elektrik Honda, ganti e:HEV

Honda mengumumkan bahawa unit rangkaian kuasa hibrid petrol-elektrik generasi baharunya selepas ini akan dikenali dengan nama Honda Hybrid. Nama baru berkenaan akan menggantikan nama e:HEV yang digunakan pada model hibrid buat masa sekarang – jadi berkemungkinan nama-nama model hibrid Honda dengan unit rangkaian kuasa baharu berkenaan selepas ini akan kembali ke asal seperti Civic Hybrid atau CR-V Hybrid.

Unit rangkaian kuasa hibrid yang dipertingkat tersebut akan diperkenalkan di peringkat global bermula tahun 2027, di mana Honda telah menyusun semula sumber pembangunan dan pengeluarannya untuk menumpukan kepada perniagaan hibrid, selaras dengan pelan hala tuju pemulihan perniagaan automobilnya yang diumumkan pada Mei 2026, bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap kenderaan hibrid, menurut syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Nama baharu ini juga menandakan bahawa teknologi hibrid yang digunakan oleh syarikat itu adalah eksklusif untuk Honda. Unit rangkaian kuasa yang dipertingkat tersebut masih lagi berasaskan sistem sedia ada pada versi e:HEV yang menggunakan dua motor elektrik. Antara penambahbaikkan yang dibuat tersebut termasuk enjin 2.0 liter empat-silinder NA dengan sistem suntikan bahan api terus yang didakwa akan memberikan keberkesanan 30% lebih baik pada kelajuan putaran lebih tinggi, meluaskan lagi julat operasi kecekapan tinggi enjin tersebut sehingga 40%.

Motor elektrik dalam sistem tersebut juga akan dikecilkan tetapi dapat membekalkan kuasa yang lebih tinggi, manakala pek bateri pula akan dihasilkan lebih nipis untuk pempakejan yang lebih baik. Ia juga akan menerima sistem tukaran gear palsu S+ Shift seperti yang diterima oleh Prelude, serta menampilkan Motion Manangement Control yang dipusatkan di mana sistem ini akan menggunakan unit rangkaian kuasa dan juga brek bagi menstabilkan pengendaliannya.

Unit rangakaian kuasa Honda Hybrid ini dibina untuk disesuaikan pada platform bersaiz sederhana baharu Honda yang bakal menjadi asas kepada Civic dan CR-V generasi baharu. Gandingan tersebut menjanjikan model-model baharu yang lebih ringan, lebih senyap, lebih seronok untuk dipandu dan juga lebih murah untuk dibina. Honda merancang untuk melancarkan 15 model Honda Hybrid baharu menjelang 2030, di mana sebahagian besarnya untuk pasaran Amerika Utara.

Honda Hybrid merupakan sistem hibrid versi kelima Honda. Jenama Jepun tersebut mula memperkenalkan teknologi hibrid petrol-elektrik ini bermula dengan model Honda Insight pada tahun 1999, dengan sistem yang dikenali dengan nama Integrated Motor Assist (IMA). Ia kemudiannya berevolusi kepada sistem hibrid penuh Sport Hybrid Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD), Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD)/e:HEV dan juga Sport Hybrid Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) seperti yang pernah digunakan pada supercar Honda NSX generasi kedua.