Susulan daripada teaser sebelum ini, Kawasaki akhirnya memperkenalkan Versys 900 baru, yang akan mengisi ruang antara Versys 650 dan Versys 1100 dalam barisan model adventure tourer mereka. Model terbaru dalam keluarga Versys ini menggunakan enjin empat silinder sebaris 948 cc yang diambil daripada Z900, dan didakwa sebagai model Versys paling berorientasikan prestasi setakat ini.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 122 PS pada 9,500 rpm dan tork 97.3 Nm pada 8,000 rpm. Kawasaki menyatakan enjin ini menawarkan tindak balas pendikit yang lancar dan mudah dikawal pada putaran rendah serta pertengahan, selain mampu menghasilkan kuasa secara berterusan apabila putaran enjin meningkat. Gabungan ini membolehkan Versys 900 digunakan untuk perjalanan harian, tunggangan di jalan berliku dan pengembaraan jarak jauh.
Bagi menyokong prestasi tersebut, Kawasaki membangunkan rangka trellis baru dengan keseimbangan yang dioptimumkan untuk memberikan maklum balas lebih baik pada bahagian hadapan. Rangka belakang pula direka untuk menampung pembonceng serta bagasi tambahan seperti kotak sisi dan kotak belakang. Agihan berat hampir 50:50 antara roda hadapan dan belakang turut membantu menghasilkan pengendalian yang lebih ringan dan tangkas.
Versys 900 menggunakan suspensi dengan jarak gerak panjang, ciri yang sinonim dengan keluarga Versys, bersama rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar Metzeler ROADTEC 01. Gabungan ini bertujuan memberikan keseimbangan antara pengendalian sporty dan keselesaan ketika menempuh pelbagai keadaan jalan.
Dari segi ergonomik, motosikal ini mempunyai posisi tunggangan tegak untuk meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh. Cermin penghadang angin boleh dilaraskan kepada tujuh kedudukan, manakala ketinggian tempat duduk boleh diubah antara 825 mm hingga 845 mm. Bentuk tangki bahan api turut direka bagi memudahkan penunggang mencecah permukaan jalan dengan kaki serta memberikan cengkaman lutut yang lebih baik ketika menunggang.
Antara kelengkapan utama Versys 900 ialah sistem bantuan penunggang termaju ARAS, yang diperkenalkan buat pertama kali pada model Versys. Sistem ini merangkumi Adaptive Cruise Control Lite (ACC Lite), Forward Collision Warning (FCW) serta Blind Spot Detection (BSD). Turut disertakan ialah Emergency Stop Signal (ESS).
Bagi membantu penunggang mengawal motosikal dalam pelbagai keadaan, Versys 900 turut dilengkapi Kawasaki Cornering Management Function (KCMF), Kawasaki Traction Control (KTRC), sistem brek ABS yang dipertingkatkan serta pilihan mod kuasa dan mod tunggangan bersepadu. Sistem penukar gear Kawasaki Quick Shifter (KQS) juga disediakan secara standard.
Panel meter TFT berwarna bersaiz lima inci menjadi pusat paparan maklumat motosikal, termasuk sokongan navigasi Turn-by-Turn. Penunggang boleh memilih antara dua susun atur paparan mengikut keutamaan, sama ada mengutamakan maklumat berkaitan enjin dan tunggangan atau memberikan penekanan lebih besar kepada navigasi serta maklumat kenderaan. Sambungan telefon pintar melalui aplikasi RIDEOLOGY turut disediakan untuk mengakses pelbagai fungsi.
Untuk keperluan membawa bagasi, Kawasaki menawarkan kotak belakang berkapasiti 47 liter serta sepasang kotak sisi berkapasiti 32 liter setiap satu sebagai pilihan tambahan. Sistem bagasi ini direka supaya kelihatan serasi dengan badan motosikal dan mengekalkan penampilan sporty walaupun dilengkapi sepenuhnya untuk perjalanan jauh.
Selain versi standard, Versys 900 turut ditawarkan dalam varian SE yang dilengkapi aksesori tulen Kawasaki, termasuk lampu kabus LED, pelindung tangan, pemanas pemegang, pelindung radiator, pelindung rangka, penutup bawah enjin dan tongkat tengah. Pakej aksesori Tourer dan Grand Tourer juga akan ditawarkan melalui pengedar Kawasaki untuk memenuhi keperluan penunggang yang mahukan kelengkapan tambahan bagi perjalanan jarak jauh.
Bagi pasaran United Kingdom, Kawasaki Versys 900 akan mula ditawarkan pada April tahun depan dengan harga £10,899 (RM58,941), dalam pilihan warna Metallic Spark Black dan Pearl Robotic White. Versys 900 SE pula berharga £11,799 (RM63,800) dan ditawarkan dalam warna Plasma Lime Green/Metallic Spark Black serta Firecracker Red/Metallic Carbon Gray. Harga dan ketersediaan untuk pasaran lain masih bergantung pada pengumuman pengedar tempatan.










