Empat pelumba simulator Malaysia wakili negara buru emas di Asia Pacific Motorsport Championship 2026

Empat pelumba simulator negara bakal mewakili negara ke Asia Pacific Motorsport Championship 2026 (APMC 2026) yang akan berlangsung di Bira Circuit, Pattaya, Thailand bermula 23 hingga 25 Oktober ini. Mereka adalah Nabil Azlan (24) dan Iqbal Suji (28) yang akan bertanding dalam kategori Assetto Corsa, manakala Ethen Low (16) dan Raja Amirul Syauqat (22) akan bertanding dalam kategori iRacing.

Keempat-empat pelumba ini dipilih selepas menduduki tempat pertama dan kedua ketagori masing-masing dalam pertandingan kelayakan yang dikawal selia oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM). Malah kesemua mereka termasuk Ethen yang baru berumur 16-tahun sudahpun membuat penampilan dalam pelbagai perlumbaan kereta sebenar.

Nabil Azlan akan mengetuai kontinjen negara kali ini, di mana beliau bertekad untuk mendapatkan pingat emas, selepas hanya berpuas hati dengan pingat perak dalam kategori iRacing pada kejohanan sama tahun lalu. Untuk tahun ini, Nabil beralih ke Assetto Corsa, dengan momentum yang kukuh selepas bergelar juara kategori E-sukan MAM Festival of Speed ​​2026. Beliau juga merupakan juara bertahan Kelas Pro Toyota Gazoo Racing Malaysia e-Racing bagi tahun 2025.

Pertarungan Nabil dalam kategori Assetto Corsa untuk APMC 2026 ini akan ditemani oleh Iqbal Suji, yang merupakan antara pelumba sim negara yang telah banyak pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa. Iqbal merupakan finalis dalam kejohanan berprestij Gran Turismo World Series 2023 Nations Cup, dan beliau juga berjaya mara ke peringkat akhir program FIA Rally Star Asia Pasifik pada tahun 2023. Pengalamannya bersaing dengan antara pelumba sim terbaik di rantau ini mahupun di peringkat dunia akan menjadi aset berharga dalam penampilan sulungnya di APMC kali ini.

Dalam kategori iRacing, Malaysia akan diwakili oleh Raja Amirul Syauqat, yang baru sahaja memenangi MAM eRacing GP 2026. Raja Syauqat berhasrat untuk menterjemahkan prestasinya di peringkat kebangsaan itu kepada keputusan yang baik dalam penampilan sulungnya di APMC 2026.

Turut membawa cabaran negara dalam kategori iRacing di APMC 2026 ini adalah salah seorang pelumba simulator termuda negara iaitu Ethen Low yang kini telah membuktikan dirinya sebagai salah satu bakat baharu yang paling menyerlah di Malaysia.

Ethen kini berlumba dalam kategori Rookie dan mendahului carta pungutan mata bagi siri perlumbaan ‘one make’ Vios Gold Championship 2026 anjuran Toyota Gazoo Racing, serta baru-baru ini dinobatkan sebagai juara kategori ‘Young Dreamers’ di acara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026. Penampilan sulung Ethen dalam APMC ini akan menguji di mana tahap kemahirannya dalam berhadapan cabaran dari luar negara pula.

Penampilan pelumba-pelumba simulator dari Malaysia ke APMC 2026 ini disokong oleh Esports Integrated (ESI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah program Malaysia Esports Accelerator (MEAP).

Sejak edisi sulung kejohanan ini pada tahun 2023, pelumba simulator dari Malaysia telah meraih pingat emas dalam kategori individu dan juga berpasukan bagi sukan elektronik (esports), sekali gus meletakkan negara sebagai pasukan yang disegani dalam disiplin tersebut.

APMC merupakan pertandingan sukan bermotor yang menampilkan pelbagai disiplin, menghimpunkan atlet-atlet wakil badan sukan bermotor kebangsaan dari seluruh rantau ini, untuk bersaing merebut pingat emas, perak, dan gangsa. Bagi APMC 2026, ia dianjurkan oleh Royal Automobile Association of Thailand (RAAT), dijangka menarik antara 250 hingga 500 peserta yang mewakili 24 buah negara, untuk bersaing dalam enam disiplin sukan bermotor.