Omoda C7 masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, tetapi model tersebut dijangka akan membuat kemunculan sulungnya di sini tidak lama lagi, berkemungkinan sebelum bulan November berakhir. Apabila dilancarkan kelak, SUV ini — yang merupakan model pertama direka khusus untuk jenama Omoda | Jaecoo bagi pasaran antarabangsa — akan hadir dalam versi petrol, walaupun petunjuk awal sebelum ini mencadangkan bahawa varian plug-in hybrid (PHEV) akan dilancarkan terlebih dahulu.
Walaupun terdapat perubahan ini, varian PHEV — yang juga akan dipasang CKD seperti versi petrol — dijadualkan untuk diperkenalkan selepas versi enjin pembakaran dalaman (ICE) mula dijual. Selain itu, ada ura-ura bahawa varian ketiga juga turut dirancang untuk pasaran Malaysia, namun ia mungkin hanya akan tiba menjelang tahun 2027.
Model yang dikenali sebagai Omoda 7 di pasaran domestiknya serta di beberapa pasaran terpilih yang lain, juga akan ditawarkan sebagai model hibrid di pasaran Malaysia. Perkara ini dinyatakan semasa acara tahunan Chery International User Summit (IUS) yang sedang berlangsung di Wuhu, China.
Dalm satu pembentangan di luar acara sidang kemuncak tersebut, diumumkan bahawa Omoda 7 Super Hybrid System–Hybrid (SHS-H; akhiran “H” merujuk kepada HEV) bakal diperkenalkan di Malaysia. Omoda 7 SHS-H ini menampilkan komponen yang membuat kemunculan sulung di peringkat global — iaitu bateri 5 kWh — seperti yang diumumkan di IUS. Komponen ini juga akan dimuatkan dalam versi HEV bagi model Omoda X, yang turut membuat kemunculan sulung globalnya pada acara tersebut.
Tiada perincian teknikal didedahkan mengenai unit tersebut setakat ini, baik dari segi komposisi mahupun spesifikasi teknikalnya. Bagaimanapun, ada dinyatakan bahawa model tersebut mampu memberikan kenderaan hibrid (HEV) ini keupayaan vehicle-to-load (V2L) sebanyak 2.2 kW — satu ciri pertama bagi HEV konvensional — serta menawarkan Super Quiet Mode yang memberikan kesenyapan setaraf kenderaan elektrik (EV) semasa permulaan, serta ketika pecutan dan pemanduan biasa.
Bateri yang berkapasiti lebih besar ini akan membolehkan jarak pemanduan dalam mod EV yang lebih jauh berbanding unit 1.83 kWh yang terdapat pada model HEV Jaecoo J5 dan J7. Memandangkan J5 HEV mempunyai jarak pemanduan keseluruhan yang didakwa mencecah 980 km (dibantu oleh tangki bahan api 51 liter), bateri 5 kWh baru ini sepatutnya membolehkan Omoda 7 hibrid melepasi angka 1,000 km dengan mudah, malah mungkin menghampiri 1,100 km jika dipandu dengan lebih berhemah.
Sistem pacuan SHS-H yang digunakan dijangka serupa dengan yang terdapat pada model HEV Jaecoo — iaitu enjin petrol 1.5 liter empat-silinder kitaran Atkinson dengan pengecas turbo (seperti yang terdapat pada J7 PHEV). Enjin ini menghasilkan 143 PS dan tork 215 Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS/310 Nm serta transmisi hibrid khusus (Dedicated Hybrid Transmission — DHT) satu-kelajuan, yang memberikan output gabungan sebanyak 224 PS dan 295 Nm.
Bagi pasaran tempatan, Omoda C7 versi petrol pula akan hadir dengan konfigurasi pacuan roda hadapan. Ia akan dilengkapi dengan enjin petrol 1.6 liter empat-silinder sebaris dengan pengecas turbo yang menjana sebanyak 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan tork 290 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan.
Bagi varian PHEV — yang menampilkan rangkaian kuasa sama seperti pada Jaecoo J7 PHEV — sistemnya terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter empat-silinder pengecas turbo khusus untuk hibrid — yang pada model C7 telah ditala sedikit untuk menghasilkan 156 PS dan tork 220 Nm — serta motor elektrik berkuasa 204 PS/310 Nm. Sistem ini digandingkan dengan transmisi hibrid khusus (DHT) satu kelajuan.
Jumlah output gabungan yang dihasilkan ialah 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 530 Nm, iaitu 13 PS dan 5 Nm lebih tinggi berbanding J7 PHEV. Ia dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade berkapasiti 18.3 kWh daripada BYD — sama seperti yang digunakan pada J7 — yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 95 km.
Mengenai Omoda 7 HEV pula, perincian lanjut dijangka akan didedahkan dalam beberapa bulan akan datang, dengan maklumat penuh mungkin akan diperjelaskan menjelang pameran Auto China 2027. Apa yang pasti, model ini akan diperkenalkan kelak.
Dalam pembentangan yang sama, jenama tersebut turut menyatakan bahawa Omoda 2 dan Jaecoo J9 — yang pernah disebut lebih dua tahun lalu — akan dilancarkan tidak lama lagi, sekali gus mengesahkan semula pengumuman yang dibuat mengenai model-model tersebut pada bulan April lalu.
Omoda C7 PHEV 2026 — Pratonton di Malaysia
Omoda C7 Petrol — Pratonton di Malaysia
IKLAN: Pandu kereta Omoda Jaecoo idaman anda dengan tawaran terbaik. Hantar butiran anda dan pengedar Omoda Jaecoo Carro akan menghubungi anda.











Omoda Jaecoo J5 EV
dari RM118,800
Omoda Jaecoo J5
dari RM108,000
Omoda Jaecoo J8
dari RM178,800
Omoda Jaecoo C9
dari RM168,800
Omoda Jaecoo J7
dari RM138,800