Honda bakal memperkenalkan CBR500R Four ke pasaran Eropah pada 2027, selepas model motosikal sport empat silinder itu diperkenalkan di China pada awal 2026. Walaupun sudah mempunyai CBR500R dalam pasaran, model baru ini membawa kelainan dengan enjin empat silinder 502 cc baru berserta sistem klac elektronik E-Clutch, sedang CBR500R sebelum ini menggunakan enjin dua silinder 471 cc.
Dibangunkan bersama oleh Honda dengan rakan kongsi di China, Wuyang-Honda, CBR500R Four mula diperlihatkan di negara itu sebelum diperluaskan ke pasaran Eropah. Di United Kingdom, motosikal ini ditawarkan pada harga £6,999 (sekitar RM37,000), dengan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula pada Januari 2027.
Bukan sekadar versi lebih kecil bari CBR650R, CBR500R Four menggunakan enjin DOHC empat silinder sebaris 502 cc dengan penyejukan cecair yang baru dibangunkan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 72 hp pada 11,000 rpm dan tork 47.4 Nm pada 9,750 rpm.
Kuasa disalurkan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan, manakala sistem Honda E-Clutch membolehkan penunggang mula bergerak, berhenti dan menukar gear tanpa perlu mengendalikan tuil klac, meskipun penggunaan klac secara manual masih tersedia.
Bagi meningkatkan prestasi, enjin ini turut dilengkapi sistem kemasukan udara ram-air. Pakej elektroniknya merangkumi pendikit throttle-by-wire, lima mod tunggangan, sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control serta wheelie control. Honda turut menawarkan versi dengan kuasa dihadkan kepada 46 hp untuk memenuhi keperluan pemegang lesen A2 di Eropah.
Dari segi casis, CBR500R Four menggunakan kerangka keluli yang dipadankan dengan fork USD KYB berdiameter 41 mm di hadapan dan penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang. Lengan ayun aluminium digunakan pada bahagian belakang, manakala sistem membrek terdiri daripada dua cakera hadapan 296 mm dengan angkup Nissin dua piston radial. Brek belakang pula menggunakan cakera tunggal, dengan sistem ABS dual-channel disediakan sebagai kelengkapan standard.
Motosikal ini menggunakan roda 17 inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso IV berukuran 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang. Berat adalah 189 kg, manakala ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 780 mm. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter turut disediakan bagi menyokong kegunaan harian dan perjalanan jarak sederhana.
Antara kelengkapan lain termasuk lampu LED, paparan TFT berwarna lima inci dengan sambungan telefon pintar Honda RoadSync serta port pengecasan USB-C. Untuk pasaran Eropah, CBR500R Four akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Ignition Red Tricolour dan Matte Ballistic Black Metallic.
Sekiranya dibawa masuk ke Malaysia, kedudukan CBR500R Four berbanding Honda CBR650R E-Clutch sedia ada pastinya menjadi perkara utama untuk diperhatikan. CBR650R kini dijual pada harga RM49,999, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran, sekaligus meletakkan model 500 cc ini sebagai pilihan berpotensi lebih mampu milik dalam segmen motosikal sport empat silinder.










