GWM Malaysia telah mengumumkan prestasi separuh pertama (first half/1H) yang dianggap sebagai terbaik dalam sejarah syarikat ini, selain berkongsi unjuran positif bagi baki tahun 2026, disokong oleh barisan model yang semakin berkembang, penerimaan pengguna yang semakin meningkat terhadap teknologi hibrid serta pelaburan berterusan dalam mempertingkatkan pengalaman pemilikan pelanggan.
Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao, berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun 2026, syarikat ini telah merekodkan penghantaran sebanyak 3,166 unit, mewakili peningkatan 42.4% tahun ke tahun, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya dalam kalangan 11 jenama automotif terlaris di Malaysia.
Menurut beliau lagi, momentum jualan terus mengukuh sepanjang separuh pertama tahun ini iaitu daripada 1,294 unit pada suku pertama (Q1) kepada 1,872 unit pada suku kedua (Q2) dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 44.7% berbanding suku sebelumnya.
“Haval H6 HEV meningkat daripada 656 unit kepada 895 unit, dan terus kekal sebagai model dengan jumlah jualan tertinggi GWM Malaysia. Selain itu, Wey G9 Hi4 PHEV merekodkan pertumbuhan jualan daripada 421 unit pada Q1 kepada 707 unit pada Q2, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai MPV mewah No.1 terlaris di Malaysia dalam kalangan jenama OEM yang diedarkan secara tempatan.
“Manakala Ora Good Cat EV hampir menggandakan jualan suku tahunannya dengan mencatatkan pertumbuhan 93% suku ke suku. Prestasi separuh pertama terbaik dalam sejarah syarikat ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap produk, teknologi dan komitmen jangka panjang GWM di pasaran tempatan,”
Tambahnya, memasuki separuh kedua tahun 2026, GWM Malaysia kekal komited untuk mengembangkan barisan model jenamanya, termasuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia serta terus menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan.
GWM Malaysia memaklumkan kepada paultan.org bahawa pihaknya juga merancang untuk melancarkan model Ora 5 HEV pada hujung tahun ini, manakala Haval H7 Hi4 PHEV pula dijangka akan dibawa masuk ke pasaran tempatan awal tahun 2027. Kedua-dua model terbabit pernah dipertontonkan dalam acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 pada Jun lalu.
“Berbekalkan prestasi cemerlang pada separuh pertama tahun ini, GWM Malaysia menjangkakan momentum positif akan terus berlanjutan sepanjang baki tahun 2026. Keyakinan ini disokong oleh peningkatan penerimaan pengguna terhadap teknologi hibrid, barisan model yang semakin berkembang serta persekitaran dasar automotif yang terus menyokong pertumbuhan industri,” tambahnya lagi.
Berkenaan dengan keputusan Kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan PUA 402 hingga akhir tahun ini, GWM Malaysia berkata pihaknya menyambut baik perkara ini kerana ia membolehkan pengguna menikmati struktur harga kenderaan sedia ada bagi tempoh yang lebih panjang.
Selain itu, syarikat ini turut berpendapat penambahbaikan yang dilaksanakan di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dijangka meningkatkan ketelusan dan aksesibiliti pembiayaan kenderaan, sekali gus memperkukuhkan keyakinan pengguna serta menyumbang kepada ekosistem automotif yang lebih sihat.









