120 kes kemalangan maut babitkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah antara 2023-Jun 2026 – polis

Sebanyak 120 kes kemalangan maut telah direkodkan dalam tempoh empat tahun iaitu dari 2023 hingga Jun tahun ini yang membabitkan pemandu mabuk dan individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.

Berdasarkan rekod JSPT Bukit Aman, daripada jumlah itu, 94 kes membabitkan penyalahgunaan dadah manakala 26 kes lagi berpunca daripada pemandu mabuk, laporan Bernama.

Muhammed Hasbullah Ali turut berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi mengesan pemandu mabuk dan yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Malah setiap minggu beliau sendiri mengeluarkan arahan kepada semua pegawai dan anggota JSPT untuk sentiasa melaksanakan Op Mabuk.

“Berdasarkan statistik JSPT, kami dapati kemalangan akibat pemandu mabuk banyak berlaku, jadi kami tingkatkan lagi operasi penguatkuasaan termasuk sekatan jalan raya (SJR) dan ramai pengguna jalan raya yang masih tidak sedar bahawa bahaya memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

120 kes kemalangan maut babitkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah antara 2023-Jun 2026 – polis

“Ini maknanya sama ada kesalahan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah ini berpunca daripada pemandu sendiri ataupun undang-undang kita ini masih dianggap ringan hingga kesalahan mabuk dan pengaruh dadah masih terus berlaku,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman semalam.

Tambah beliau, berdasarkan rekod JSPT, sebanyak 1,634 operasi dilaksanakan melalui Op Mabuk sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan 949 tangkapan. Di mana jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 136.1% berbanding 692 operasi dengan 930 tangkapan pada tempoh sama tahun lalu.

“Lima kontinjen yang mencatatkan tangkapan tertinggi dalam Op Mabuk ini adalah Kuala Lumpur dengan 268 individu, Johor dengan 223 individu, Selangor dengan 182 individu, Sabah dengan 95 individu dan Sarawak dengan 62 individu. Dari segi jantina, majoriti ditahan lelaki, iaitu sebanyak 895 orang atau 94.3% manakala wanita 54 orang (5.7%) selain golongan berusia 31 tahun dan ke atas menyumbang hampir tiga perempat daripada jumlah keseluruhan tangkapan,” katanya.

Muhammed Hasbullah berkata dari segi tindakan perundangan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebanyak 1,040 kertas siasatan telah dibuka setakat enam bulan pertama tahun ini berbanding 870 pada tahun lepas.

120 kes kemalangan maut babitkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah antara 2023-Jun 2026 – polis

“Jumlah kes dituduh di mahkamah pula meningkat kepada 589 kes tahun ini berbanding 486 kes pada 2025 manakala 414 kes telah dijatuhkan hukuman berbanding 334 kes pada tahun lepas.

“JSPT tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi mengakibatkan kemalangan maut dan kehilangan nyawa serta kehilangan harta benda kepada pengguna-pengguna jalan raya yang tidak bersalah,” katanya.

Beliau turut berkata bagi menangani masalah itu, JSPT berhasrat untuk berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengemukakan cadangan semakan semula hukuman agar lebih tegas dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Selain itu, katanya, JSPT sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung penggunaan kit ujian air liur bagi mengesan pemandu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.