Model EV dan PHEV Proton eMas telah jimatkan subsidi petrol RON 95 kerajaan sebanyak RM39.9 juta

Ketika majlis pelancararan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model eMas 7 PHEV pagi tadi, Proton menyatakan bahawa model-model EV dan PHEV di bawah jenama eMas telahpun menjimatkan penggunaan bahan api petrol sebanyak 21.26 juta liter.

Ini bermakna berdasarkan harga semasa petrol RON 95 pada RM1.99 seliter di bawah skim Budi Madani RON 95 (Budi95), kos bahan api sebanyak RM42.3 juta telah dapat dijimatkan dari pemilik, dan Proton turut menyatakan bahawa ia telah menjimatkan sebanyak RM39.9 juta kos subsidi bahan api yang ditanggung oleh kerajaan.

Bagi mendapatkan angka-angka ini, Proton telah merujuk kepada data dalamannya yang menunjukkan bilangan model eMas yang sedang digunakan di jalan raya dan jumlah perbatuan yang telah mereka lalui – ini mungkin diperolehi dari sistem telemetik pada setiap unit kenderaan tersebut.

Menurut Proton terdapat 11,607 unit eMas 5 yang telah menempuh jarak perjalanan berjumlah 60.35 juta km. Sekiranya pemilik-pemilik eMas 5 ini masih menggunakan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) biasa dengan anggaran penggunaan bahan api purata sebanyak 5.3 liter setiap 100 km, sebanyak 3.18 juta liter petrol telah dibakar dengan jarak perjalanan itu, dan jumlah berkenaan telah dijimatkan kerana ke semua pemilik berkenaan telah beralih ke EV eMas 5.

Kaedah pengiraan yang sama turut dibuat pada eMas 7, di mana 11,749 unit telah menempuh jarak 186.03 juta km, dan jika dibandingkan dengan penggunaan bahan api purata untuk model ICE sebanyak 9 liter setiap 100 km, SUV EV ini dikatakan telah menjimatkan 16.74 juta liter. Bagi eMas 7 PHEV, ia adalah 1.34 juta liter.

Model EV dan PHEV Proton eMas telah jimatkan subsidi petrol RON 95 kerajaan sebanyak RM39.9 juta

Sekiranya ketiga-tiga model ini digabungkan, maka terhasilah jumlah penjimatan bahan api 21.26 juta liter yang dinyatakan. Jumlah tersebut apabila didarabkan dengan harga Budi95, ialah RM42.3 juta. Bagi penjimatan subsidi bahan api RM39.9 juta, Proton merujuk kepada artikel oleh The Edge yang disiarkan pada 30 Mac 2026 yang menyatakan kerajaan mensubsidi petrol RON 95 pada harga kira-kira RM1.88 seliter. Ambil jumlah tersebut dan darabkan dengan 21.26 juta liter dan anda akan mencapai jumlah penjimatan subsidi yang didakwa.

Perlu dinyatakan bahawa jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan seliter adalah berdasarkan perbezaan antara harga subsidi (RM1.99 seliter) dan harga sebenar tanpa subsidi petrol RON 95. Mengikut kemaskini harga bahan api mingguan, RON 95 kini dijual pada harga RM3.82 seliter – jadi jumlah petrol yang disubsidi seliter ialah RM1.83 seliter.

Dengan harga RON 95 tanpa subsidi yang berubah setiap minggu (boleh dirujuk menerusi data.gov.my), apa yang Proton nyatakan tentang berapa banyak subsidi bahan api yang telah dijimatkan oleh kerajaan adalah subjektif dan dalam masa yang sama adalah sangat spesifik.

Sebagai contoh, jika harga RON 95 tanpa subsidi yang dipilih untuk menggambarkan situasi ini ialah RM4.27 seliter – tertinggi sejak konflik Asia Barat bermula – jumlah subsidi yang dibayar ialah RM2.28 seliter, di mana jika ia digunakan untuk 21.16 juta liter yang disebut oleh Proton telah “dijimatkan” oleh model eMasnya, kerajaan telah dapat menjimatkan sebanyak RM48.4 juta.

Juga perlu ambil perhatian adalah sebahagian besar liter yang “dijimatkan” datang daripada eMas 7, di mana model tersebut telah mula dihantar kepada pelanggan lama sebelum konflik Timur Tengah yang terjadi baru-baru ini. Sepanjang tahun lepas, jumlah subsidi seliter tidak setinggi angka yang digunakan di sini.