Xpeng L03 muncul di Indonesia – pencabar Proton eMas 7, BYD Atto 3 dengan WLTP 520 km bakal tiba di M’sia?

Selepas memberi fokus kepada segmen premium, Xpeng kini mengembangkan penawarannya ke segmen lebih mampu milik menerusi L03, yang sedang dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026. Model ini dipasarkan di China di bawah sub-jenama Mona, menyertai sedan M03, dan telah disahkan akan memasuki pasaran Australia, sekaligus menjadi antara model seterusnya yang ditawarkan dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Melihat kepada saiz, Xpeng L03 berukuran 4,650 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,600 mm tinggi, dengan jarak roda 2,850 mm. SUV bergaya fastback ini diletakkan dalam segmen yang sama dengan Proton eMas 5 (4,615 mm) dan BYD Atto 3 (4,455 mm), manakala Xpeng G6 pula lebih besar dengan panjang keseluruhan 4,758 mm.

Xpeng menawarkan L03 dengan beberapa pilihan varian dan rangkaian kuasa. Bagi model elektrik sepenuhnya, varian asas RWD Standard Range menggunakan motor elektrik pacuan roda belakang yang menghasilkan 245 PS (180 kW) dan 264 Nm. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Xpeng L03 muncul di Indonesia – pencabar Proton eMas 7, BYD Atto 3 dengan WLTP 520 km bakal tiba di M’sia?

Varian ini dipadankan dengan bateri LFP berkapasiti 58.3 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 445 km mengikut kitaran WLTP. Walaupun tidak menggunakan sistem elektrik 800 volt seperti Atto 3 Premium, ia masih menyokong pengecasan pantas DC sehingga 193 kW, membolehkan bateri dicas daripada 10% ke 80% dalam masa sekitar 20 minit. Pengecasan AC 11 kW pula mengambil masa 6.8 jam untuk mengecas daripada 5% hingga penuh.

Di atasnya ialah varian RWD Long Range yang mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang tetapi lebih berprestasi dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.6 saat. Ia menerima bateri lebih besar, berkapasiti 71.2 kWh, selain kadar pengecasan DC sehingga 236 kW. Tempoh pengecasan pantas kekal sekitar 20 minit, namun pengecasan AC mengambil masa lebih lama, iaitu 8.3 jam.

Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, Xpeng menawarkan varian Performance yang menggunakan dua motor elektrik bersama sistem pacuan semua roda. Kuasa keseluruhan mencecah 387 PS (285 kW) dan 431 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya 4.5 saat.

Xpeng L03 muncul di Indonesia – pencabar Proton eMas 7, BYD Atto 3 dengan WLTP 520 km bakal tiba di M’sia?

Namun, dengan prestasi sedemikian, jarak pemanduan berkurang menjadi 440 km. Unit yang dipamerkan di GIIAS ialah AWD Performance Ultra yang turut dilengkapi rim aloi 20 inci rekaan seperti turbin serta angkup brek berwarna kuning.

Barisan L03 turut akan diperluaskan dengan varian PowerX range extender pada masa akan datang. Ia masih menggunakan sistem pacuan roda belakang, tetapi dipadankan dengan enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 84 PS (62 kW) yang berfungsi sebagai penjana elektrik. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 6.8 saat.

Varian PowerX menggunakan bateri berkapasiti 37.25 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 215 km. Digabungkan dengan tangki bahan api 42 liter, jumlah jarak perjalanan didakwa boleh mencecah 1,017 km. Kuasa pengecasan DC dihadkan kepada 123 kW, namun masih mampu mengecas bateri daripada 10% ke 80% dalam tempoh sekitar 20 minit, manakala pengecasan AC 6.6 kW mengambil masa kira-kira 6.5 jam untuk pengecasan penuh.

Dari segi reka bentuk, L03 mengekalkan identiti rekaan Mona menerusi lampu hadapan berbentuk T, manakala bahagian belakang menggunakan lampu melintang penuh bersama kemasan yang menyerupai liang udara pada kedua-dua penjuru bampar. Bentuk badan yang lebih aerodinamik, bidai gril aktif serta pemegang pintu jenis rata membantu menghasilkan kadar rintangan udara serendah 0.228.

Di dalam kabin, L03 menampilkan susun atur minimalis yang menjadi identiti Xpeng. Papan pemuka dilengkapi corong pendingin hawa melintang dengan kemasan berjalur yang bersambung hingga ke panel pintu. Kelengkapan lain termasuk panel instrumen digital bersaiz 8.88 inci, skrin infotainmen 15.6 inci, head-up display bersaiz 26.8 inci serta sistem audio Xopera 18 pembesar suara yang turut dilengkapi pembesar suara pada perehat kepala.

Model ini juga menjadi Xpeng pertama yang menyerapkan Google Maps ke dalam sistem navigasinya. Data peta tersebut turut digunakan bersama sistem Visual-Language-Action (VLA 2.0) generasi kedua bagi menyokong fungsi pemanduan automatik yang lebih maju. Teknologi berkenaan dijangka diperkenalkan di Eropah tahun hadapan, sebelum diperluaskan ke pasaran Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Xpeng L03 muncul di Indonesia – pencabar Proton eMas 7, BYD Atto 3 dengan WLTP 520 km bakal tiba di M’sia?

Sistem infotainmen menggunakan perisian XOS 6 yang hadir dengan kawalan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkat bagi membolehkan interaksi lebih semula jadi. Ciri lain termasuk bumbung panoramik kaca dengan penebat haba, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan, pengecas telefon tanpa wayar Qi 50 watt serta 37 ruang simpanan di seluruh kabin. Ruang but belakang menawarkan kapasiti 367 liter, manakala versi elektrik sepenuhnya turut menyediakan ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 44 liter.

Kemunculan L03 di GIIAS menunjukkan model ini semakin hampir untuk memasuki pasaran Asia Tenggara. Ini sekaligus membuka peluang untuk ia ditawarkan di Malaysia, terutama memandangkan Xpeng kini mempunyai kemudahan pemasangan tempatan (CKD) di negara ini. Jika dilancarkan kelak, L03 bakal menjadi pencabar baru dalam segmen SUV elektrik yang kini semakin kompetitif, termasuk kepada Proton eMas 5 dan BYD Atto 3.