Mercedes-Benz GLC350e 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia — kosmetik Night Package, RM443k

Nightfall Edition bagi model model Mercedes-Benz GLA200, GLA250 dan GLC43 4Matic Coupé sebelum ini sudah dijual di Malaysia, dan kini giliran Mercedes-Benz GLC350e 4Matic Coupé Nightfall Edition pula diperkenalkan secara rasmi di sini — dengan harga RM442,888 atas jalan belum termasuk insuran.

Dengan harga yang RM17k lebih mahal berbanding model GLC350e Coupé dan juga pemasangan tempatan (CKD), apa yang ditawarkan oleh versi ini? Sudah tentulah Nightfall Edition dengan kemasan yang menampilkan lambang Mercedes-Benz, louvre cangkerang radiator, jalur kemasan hitam berkilat untuk bingkai tingkap, perumah cermin sisi, apron belakang dan serta diffuser, pemegang pintu dalam warna krom gelap serta rim aloi AMG 20-inci hitam.

Mercedes-Benz GLC350e 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia — kosmetik Night Package, RM443k

Selebihnya semua kekal sama, termasuk nadi PHEV yang menjana 313 PS/550 Nm, yang terdiri daripada enjin turbo 2.0 liter 204 PS/320 Nm dan motor elektrik 129 PS/440 Nm, diganding dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan dan jarak EV sepenuhnya melebihi 100 km.

Kelengkapan lain yang tersedia termasuklah Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, balutan kulit buatan Artico untuk kerusi dan papan pemuka, sistem audio dengan 15-pembesar suara Burmester, tujuh-beg udara dan Driving Assistance Package Plus (Distronic ACC dengan fungsi Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, amaran trafik lintasan hadapan dan belakang, dengan brek automatik).