Mitsubishi Motors Malaysia baru sahaja memperkenalkan Triton Single Cab AT, iaitu varian baru trak pikap kerja berat yang kini ditawarkan dengan transmisi automatik. Model ini dijual pada harga RM107,980 atas jalan tanpa insurans, iaitu RM3,000 lebih tinggi berbanding Single Cab MT yang sudah berada di pasaran sejak hampir dua tahun lalu ketika Triton generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia.
Seperti namanya, Mitsubishi Triton Single Cab AT ditujukan kepada pembeli yang mahukan sebuah kenderaan kerja dengan kemudahan transmisi automatik. Ia menggunakan enjin turbodiesel empat silinder sebaris 2.4 liter yang sama seperti Single Cab MT, tetapi dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan berbanding unit manual enam kelajuan. Varian AT ini turut dilengkapi sensor undur, ciri yang tidak ditawarkan pada versi manual.
Selain perbezaan tersebut, kelengkapan lain pada kedua-dua varian Single Cab adalah sama. Antaranya termasuk pengunci differential belakang, sistem pacuan empat roda Easy Select 4WD dengan pilihan 2H, 4H dan 4L, bampar belakang berwarna hitam serta tempat duduk vinyl hitam. Ia turut menerima rim besi 17 inci dengan tayar 265/65R17, lampu utama automatik, pengelap cermin dengan pengesan hujan, alas lantai dan konsol tengah dengan perehat tangan.
Ruang kargo belakang pula didatangkan dengan pelapik (bedliner) sebagai kelengkapan standard untuk memberikan perlindungan tambahan. Ruang tersebut berukuran 2,340 mm panjang, 1,580 mm lebar dan 515 mm tinggi, manakala kapasiti muatan maksimum yang boleh dibawa ialah sehingga 1,145 kg. Dari segi keselamatan, Triton Single Cab dilengkapi tiga beg udara termasuk beg udara lutut pemandu, selain ABS, EBD, bantuan brek, Active Stability Control, bantuan mula mendaki bukit dan Trailer Stability Assist.
Untuk pilihan warna, kedua-dua varian Single Cab hanya ditawarkan dalam warna Solid White. Kedua-duanya turut disertakan waranti selama lima tahun atau 200,000 km, mana-mana yang terdahulu. Bagi tempoh terhad, pembeli Triton Single Cab AT juga boleh menikmati sokongan diesel bernilai RM4,000.
Tawaran ini melengkapkan insentif sedia ada untuk varian Triton lain, termasuk RM15,000 bagi Athlete sebelum kemas kini Jun 2025, RM12,000 untuk MT GL, RM10,000 bagi Athlete Championship Edition dan Athlete, RM8,000 untuk AT GL, RM6,000 bagi Single Cab MT serta RM5,000 untuk AT Premium Championship Edition dan AT Premium.









Mitsubishi Triton
dari RM101,980
Mitsubishi Xforce
dari RM109,980
Mitsubishi Xpander
dari RM99,980