MINI Malaysia melancarkan Cooper S Oxford Edition, sebuah model edisi khas yang meraikan ulang tahun ke-25 kilang MINI di Oxford, United Kingdom, yang menjadi antara lokasi penting dalam sejarah MINI moden. Sebagai rujukan, BMW mengambil alih jenama MINI pada 1994 sebelum memulakan pembangunan pengganti kepada Mini asal, yang kemudiannya diperkenalkan pada 2001 dan dikenali sebagai ‘New Mini’.
New Mini tersebut dihasilkan di Plant Oxford, sebuah kilang yang dibina di atas tapak bekas kilang Morris Motors di Cowley, Oxfordshire. Kilang berkenaan mula menghasilkan model MINI termasuk generasi Cooper seterusnya serta beberapa model BMW sejak 2001, dan kini sejarah pengeluaran selama 25 tahun itu diraikan menerusi Cooper S Oxford Edition yang ditawarkan dalam jumlah terhad.
Untuk pasaran Malaysia, hanya enam unit Cooper S Oxford Edition ditawarkan dan kesemuanya berasaskan MINI Cooper S 3-Door generasi F66 sedia ada. Ia dikuasakan enjin petrol empat silinder sebaris turbo 2.0 liter B48 yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) serta tork maksimum 300 Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan.
Harga jualan atas jalan tanpa insurans ialah RM289,888 dan ia didatangkan dengan waranti standard selama dua tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan turut boleh memilih pakej MINI Service and Repair Inclusive (MSRI), yang menawarkan waranti serta pakej servis selama empat tahun, menjadikan harga keseluruhan RM300,288. Berbanding Cooper S 3-Door biasa, edisi khas ini mengenakan premium tambahan sebanyak RM6,000.
Dengan hanya enam unit ditawarkan di seluruh negara, Cooper S Oxford Edition sememangnya menjadi model yang agak jarang ditemui. Bagi membezakannya daripada model biasa, ia menerima grafik Union Jack pada bumbung, hud dan bahagian belakang, lengkap dengan penutup tengah rim serta injap tayar yang menggunakan kemasan sepadan. Tiga warna badan ditawarkan iaitu Chili Red, Indigo Sunset Blue dan Blazing Blue, dengan setiap warna dihadkan kepada dua unit sahaja.
Masuk ke ruang kabin, tema Union Jack diteruskan menerusi lencana pada bahagian bawah stereng, selain kemasan seumpamanya pada pelapik sisi pintu dan alas lantai. Malah, kunci kereta turut menerima kemasan Union Jack bagi melengkapkan identiti edisi khas ini. Keseluruhan perincian tersebut direka untuk memberikan perbezaan visual yang jelas berbanding Cooper S 3-Door standard.
Sebagai melengkapkan pakej eksklusif tersebut, setiap pembelian turut disertakan MINI Lifestyle Oxford Capsule, iaitu satu set barangan harian yang direka mengikut karakter jenama British itu. Pakej berkenaan merangkumi beg kembara, beberapa helai T-shirt, topi, pelekat MINI Oxford serta payung, sekaligus menambah nilai kepada pembeli yang mendapatkan model edisi terhad ini.
Selain kemasan khusus tersebut, kelengkapan lain pada Cooper S Oxford Edition adalah sama seperti Cooper S 3-Door biasa. Antaranya termasuk lampu utama LED adaptif, lampu belakang LED matriks, rim aloi dua tona 18 inci Slide Spoke, tempat duduk dengan kemasan kulit sintetik hitam Vecsin, skrin sentuh OLED 9.4 inci, head-up display, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem audio Harman Kardon. Ia turut dilengkapi kamera 360 darjah serta rangkaian sistem bantuan pemanduan ADAS termasuk brek kecemasan automatik (AEB) dan kawalan jelajah adaptif (ACC).










MINI Convertible
dari RM318,888
MINI 5 Door
dari RM293,888
MINI Aceman
dari RM213,888
MINI Electric
dari RM193,888
MINI 3 Door
dari RM279,888
MINI Countryman
dari RM258,888