Mercedes-Benz S-Class W223 facelift dibuka untuk ROI di Malaysia – dua varian S450 4MATIC, RM950k?

Mercedes-Benz Malaysia kini membuka pendaftaran minat (ROI) untuk S-Class facelift (W223) menjelang pelancaran rasminya di pasaran tempatan. Pelanggan juga sudah mula menerima makluman menerusi WhatsApp rasmi syarikat, dengan harga permulaan dianggarkan sekitar RM950,000. Borang pra-tempahan kini tersedia di laman web Mercedes-Benz Malaysia, membolehkan pelanggan mendaftar bagi mendapatkan akses keutamaan serta maklumat eksklusif mengenai pelancaran model tersebut.

Persoalan mengenai varian yang bakal ditawarkan juga dijawab. S-Class facelift disenaraikan sebagai S450 4MATIC dalam dua versi, iaitu S450 4MATIC AMG Line Plus yang lebih sporty dan S450 4MATIC Premium. Ia merupakan perubahan berbanding model sebelum facelift yang hanya ditawarkan dalam versi S580e plug-in hybrid (PHEV), dengan harga terakhir RM738,888. Kali ini, limosin tersebut beralih kepada enjin petrol enam silinder sebaris dengan sistem hibrid ringkas.

Berdasarkan maklumat yang diberikan menerusi WhatsApp dan laman web rasmi, S450 4MATIC menggunakan enjin enam silinder sebaris yang dipertingkatkan dan mampu menghasilkan sehingga 640 Nm tork menerusi fungsi overtorque. Angka ini sebelum ini digunakan Mercedes-Benz untuk varian petrol S450 dan S500. Enjin M256 Evo itu dijangka dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, termasuk intergrated starter generator (ISG) yang mampu menghasilkan tambahan kuasa sehingga 23 PS.

Sebagai makluman, S-Class facelift membuat kemunculan global pada Januari lalu bagi menandakan ulang tahun ke-140 sejak Karl Benz mencipta kereta. Mercedes-Benz menyatakan sekitar 2,700 komponen telah diperbaharui atau direka semula, iaitu lebih separuh daripada keseluruhan kenderaan.

Di bahagian hadapan, gril kini 20% lebih besar dan hadir dengan bingkai bercahaya, diapit lampu utama yang menampilkan empat elemen berbentuk bintang serta disambungkan kemasan hitam berkilat. Logo bintang pada hud juga boleh didapati dengan fungsi pencahayaan.

Ruang kabin pula menerima perubahan besar apabila skrin sesentuh menegak pada model sebelum facelift digantikan dengan MBUX Superscreen. Ia menggabungkan skrin sesentuh tengah 14.4 inci dan skrin penumpang 12.3 inci di bawah satu kepingan kaca, selain menjalankan sistem operasi baru MB.OS.

Mercedes-Benz S-Class W223 facelift dibuka untuk ROI di Malaysia – dua varian S450 4MATIC, RM950k?

Sistem tersebut menyokong Google Maps dan kawalan suara “Hey Mercedes” yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan generatif, termasuk ChatGPT. Untuk pasaran Malaysia, laman web turut menyenaraikan dua skrin belakang 13.1 inci, sistem audio keliling Burmester serta sistem suspensi pintar berasaskan cloud yang boleh melaras tetapan secara proaktif menggunakan data jalan daripada pengguna lain.

S-Class yang dikemas kini ini juga bukanlah model yang asing di Malaysia kerana sebuah unit awal telah dibawa ke negara ini pada Jun lalu sebagai sebahagian daripada jelajah dunia sempena ulang tahun ke-140 model tersebut.

Mercedes-Benz S-Class W223 facelift dibuka untuk ROI di Malaysia – dua varian S450 4MATIC, RM950k?

Kehadirannya di Malaysia menyusuli beberapa teaser awal yang mula dikeluarkan pada Mei. Model jarak roda panjang (LWB) yang ditawarkan di negara ini turut mempunyai jarak roda 110 mm lebih panjang, manakala ciri keselamatan termasuk beg udara belakang dan beg udara pada tali pinggang keledar turut ditawarkan.

Jika harga anggaran RM950,000 itu dikekalkan, S450 4MATIC baru akan berharga lebih RM211,000 berbanding S580e sebelum ini. Bagaimanapun, harga rasmi serta senarai kelengkapan dan pilihan yang akan ditawarkan di Malaysia masih belum disahkan. Pelanggan yang berminat kini boleh membuat pendaftaran menerusi laman web Mercedes-Benz Malaysia sementara menunggu pelancaran rasminya.