Perodua QV-E dapat tambahan rebat RM10,000 – kini menjadi RM53,499 dengan BaaS, RM77,499 sepenuhnya

Perodua sekali lagi membuat pelarasan harga untuk kereta elektrik QV-E, kali ini menerusi rebat tunai RM10,000 sempena Hari Malaysia. Tawaran tersebut menjadikan harga QV-E, atau Quest for Visionary Electric Vehicle, serendah RM53,499 di bawah pakej langganan bateri atau Battery-as-a-Service (BaaS), manakala harga untuk memiliki kereta dan bateri sepenuhnya ialah RM77,499. Perodua memaklumkan tawaran ini terhad kepada unit tertentu.

Tawaran terbaru itu hadir kira-kira tiga bulan selepas Perodua mengumumkan pelarasan harga pada Jun lalu. Ketika itu, harga QV-E di bawah pelan BaaS dikurangkan RM10,000 daripada harga asal RM80,000 ketika dilancarkan pada Disember 2025, menjadi RM69,999. Yuran langganan bateri pula ditetapkan pada RM215 sebulan untuk tempoh sembilan tahun, termasuk cukai.

Pada masa sama, Perodua turut menawarkan rebat khas RM6,500 yang pada asalnya diberikan sehingga 30 September. Dengan rebat tersebut, harga QV-E di bawah pakej BaaS menjadi RM63,499, iaitu RM16,500 lebih rendah berbanding harga asal ketika model ini mula diperkenalkan. Pada Julai lalu, Perodua turut mula memulangkan perbezaan harga berkenaan kepada pelanggan awal yang telah membeli QV-E.

Perodua QV-E dapat tambahan rebat RM10,000 – kini menjadi RM53,499 dengan BaaS, RM77,499 sepenuhnya

Bagi pelanggan yang mahu memiliki kereta bersama baterinya pula, harga yang diumumkan pada Jun ialah RM93,999. Selepas ditolak rebat khas RM6,500, harga tersebut menjadi RM87,499 untuk pemilikan penuh QV-E. Bagaimanapun, seperti pelarasan harga sebelum ini, tambahan RM240 perlu diambil kira pada harga berkenaan susulan pengenalan semula cukai jalan untuk kenderaan elektrik.

Memandangkan tawaran Hari Malaysia kali ini merupakan rebat harga sementara dan bukannya pelarasan harga baru, terma yang diperkenalkan ketika pengumuman Jun dijangka kekal sama. Di bawah pelan BaaS, bateri dilindungi tanpa had perbatuan, dengan tahap kesihatan bateri atau State of Health (SoH) sekurang-kurangnya 70 peratus dijamin sepanjang tempoh langganan.

Bagi pembelian secara terus pula, bateri dilindungi waranti terhad selama lapan tahun atau 160,000 km, mana-mana yang terdahulu, dengan tahap SoH minimum 70 peratus turut dijamin. Perodua bagaimanapun menetapkan pelanggan sedia ada yang menggunakan pelan BaaS tidak boleh menukar kontrak mereka kepada skim pemilikan penuh.

Perodua QV-E dapat tambahan rebat RM10,000 – kini menjadi RM53,499 dengan BaaS, RM77,499 sepenuhnya

Jika pemilik sedia ada mahu memiliki kedua-dua, kereta dan bateri, mereka perlu menjual atau menukar beli QV-E sedia ada sebelum membeli unit baru di bawah pilihan pemilikan penuh. Ini bermakna kontrak BaaS tidak boleh ditukar secara terus kepada pembelian bateri, sebaliknya pelanggan perlu mendapatkan unit baru untuk menikmati pemilikan penuh.

Sebagai imbasan semula, QV-E dikuasakan motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan dengan output 204 PS atau 150 kW serta tork maksimum 285 Nm. Angka tersebut membolehkan kereta elektrik ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 165 km/j.

Motor berkenaan mendapat tenaga daripada bateri lithium-ion phosphate (LFP) berkapasiti 52.5 kWh yang dibekalkan oleh CATL. Pek bateri tersebut menggunakan sistem penyejukan cecair dan mempunyai penarafan IP69 untuk perlindungan terhadap air serta habuk. Beratnya mencecah 405.7 kg, kira-kira satu perempat daripada berat keseluruhan QV-E yang berjumlah 1,600 kg.

Dari segi jarak perjalanan, Perodua mendakwa QV-E mampu mencapai sehingga 370 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Angka ini lebih tinggi berbanding eMas 5 Premium yang menggunakan bateri LFP 40.16 kWh dengan jarak perjalanan 325 km mengikut piawaian sama.

Di China, Geely Xingyuan 2027 pula baru menerima bateri lebih besar berkapasiti 47.14 kWh, yang dijangka boleh diperkenalkan pada eMas 5 pada masa akan datang, meskipun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Untuk pengecasan, QV-E menyokong pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 60 kW, yang membolehkan tahap pengecasan bateri meningkat daripada 30 kepada 80 peratus dalam kira-kira 30 minit. Pengecasan AC di rumah pada kadar 6.6 kW pula mengambil masa sekitar lapan jam untuk mengecas bateri daripada 0 hingga 100 peratus. Sebagai perbandingan, eMas 5 Premium menyokong pengecasan DC sehingga 71 kW, manakala pengecasan AC juga pada kadar 6.6 kW.

Perodua QV-E di Malaysia