Perodua Aruz kini berharga antara RM69k ke RM74k- harga turun RM4k, tambahan rebat Hari Malaysia RM4k

Perodua Aruz menerima perubahan harga buat pertama kali sejak dilancarkan tujuh tahun lalu, dengan SUV tujuh tempat duduk itu kini ditawarkan pada harga RM68,900 bagi varian X dan RM73,900 bagi varian AV. Ini bermakna harga kedua-dua varian tersebut masing-masing turun sebanyak RM4,000 berbanding sebelum ini.

Bukan setakat itu, bersempena sambutan Hari Malaysia, Perodua turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM4,000 untuk Aruz. Promosi yang berlangsung dari 15 September hingga 31 Oktober ini menjadikan harga efektif model berkenaan lebih rendah, iaitu RM64,900 untuk X dan RM69,900 untuk AV.

Dilancarkan pada Januari 2019, Aruz kini menjadi model kedua paling perlahan jualannya dalam barisan Perodua, selepas model elektrik syarikat itu yang baru-baru ini menerima potongan harga dan rebat tambahan RM10,000. Aruz juga kekal sebagai satu-satunya model Perodua yang menggunakan casis ladder frame, manakala model kembarnya daripada Toyota yang turut dipasang di Sungai Choh telah dihentikan pengeluarannya pada tahun 2024.

Perodua Aruz kini berharga antara RM69k ke RM74k- harga turun RM4k, tambahan rebat Hari Malaysia RM4k

Dari segi mekanikal, Aruz dikuasakan enjin petrol empat silinder 1.5 liter yang menghasilkan 102 PS dan tork maksimum 133 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik empat kelajuan, dengan konfigurasi ini dikekalkan sepanjang tempoh penawarannya di Malaysia.

Dari segi penampilan pula, pilihan warna Passion Red diperkenalkan pada penghujung 2021, diikuti Elegant Black pada penghujung 2024. Pada Ogos 2025, warna Vintage Brown menggantikan Electric Blue, selain Aruz menerima kemasan serba hitam pada beberapa bahagian luaran untuk penampilan yang lebih moden.