Dongfeng Voyah Passion S dan Courage elektrik dipertimbang untuk Malaysia, menyertai MPV Dream 9

Selepas muncul buat kali pertama di Malaysia beberapa bulan lalu melalui MPV flagship Dream 9, Voyah kini sedang mempertimbangkan beberapa model lain untuk pasaran tempatan. Perkara itu didedahkan oleh Volt Auto Malaysia, selaku pengedar jenama berkenaan di Malaysia.

Bagi rangkaian Voyah di China, jenama itu kini menawarkan Passion S, Taishan, Free dan Courage. Daripada model-model tersebut, Volt Auto sedang mempertimbangkan Passion S dan Courage untuk dibawa masuk ke Malaysia, selain Dream 9 yang sudah disahkan untuk pasaran tempatan.

Dilancarkan di China pada Ogos lalu, Passion S ditawarkan dalam tiga varian dengan harga antara 229,900 yuan (RM139,556) hingga 279,900 yuan (RM169,908). Model ini berukuran 5,050 mm panjang, 1,998 mm lebar dan 1,656 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 3,000 mm.

Dongfeng Voyah Passion S dan Courage elektrik dipertimbang untuk Malaysia, menyertai MPV Dream 9

Passion S ditawarkan dengan sistem pacuan roda belakang (RWD) satu motor serta pacuan semua roda (AWD) dua motor. Varian asas menggunakan motor 300 kW (408 PS) pada gandar belakang, manakala varian tertinggi mendapat tambahan motor hadapan 175 kW (238 PS), menghasilkan output gabungan 646 PS dan 765 Nm. Pecutan 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam 4.5 saat.

Dua pilihan bateri disediakan, iaitu 81.6 kWh dan 98.1 kWh, masing-masing memberikan jarak perjalanan sehingga 630 km dan 740 km mengikut kitaran CLTC. Angka itu bersamaan kira-kira 517 km dan 607 km mengikut piawaian WLTP. Sistem elektrik 800 volt pula menyokong pengecasan “5C”, dengan pengecasan 20-80% didakwa hanya mengambil masa 10 minit.

Untuk casis, Passion S menggunakan suspensi hadapan double wishbone dan suspensi belakang five-link. Varian tertinggi turut dilengkapi spring udara serta penyerap hentak adaptif bagi meningkatkan keselesaan dan kawalan pemanduan.

Sistem bantuan pemanduan ADAS bagi Passion S menggunakan Huawei Qiankun ADS 5, yang merangkumi empat unit lidar, terdiri daripada satu lidar 896-garis dan tiga lidar jenis solid-state. Dari segi spesifikasi perkakasan, sistem ini adalah hampir sama seperti yang digunakan pada MPV Dream 9 yang baru sahaja dilancarkan.

Dalam kabin, sistem infotainmen Passion S menggunakan sistem operasi Huawei HarmonySpace 5.2, yang diakses menerusi skrin sesentuh tengah 15.6 inci, paparan meter digital 8.8 inci serta head-up display berasaskan realiti terimbuh (AR-HUD) 29 inci. Varian lebih tinggi turut menerima sistem audio 27 pembesar suara dan peti sejuk berkapasiti 6.6 liter.

Sementara Passion S tampil dengan reka bentuk lebih sporty dan rendah, serta menyasarkan model seperti Xiaomi YU7 dalam julat harga sama, Voyah Courage pula hadir sebagai SUV dengan reka bentuk yang lebih konvensional.

Dongfeng Voyah Passion S dan Courage elektrik dipertimbang untuk Malaysia, menyertai MPV Dream 9

Courage kini ditawarkan di China dalam tiga varian, iaitu RWD, AWD dan AWD jarak jauh, dengan harga masing-masing 202,900 yuan (RM123,166), 222,900 yuan (RM135,307) dan 242,900 yuan (RM147,447).

Courage juga sedikit lebih kecil berbanding Passion S, dengan ukuran 4,810 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, manakala jarak rodanya ialah 2,925 mm. Sama seperti Passion S, model ini menggunakan seni bina elektrik 800 volt. Varian RWD asas menggunakan satu motor berkuasa 230 kW (313 PS), manakala varian AWD mendapat tambahan motor 175 kW (238 PS) pada gandar hadapan.

Kesemua varian Courage menyokong pengecasan “5C”. Varian RWD asas menawarkan jarak perjalanan sehingga 650 km mengikut kitaran CLTC, atau kira-kira 533 km mengikut WLTP. Sementara itu, varian AWD jarak jauh menggunakan bateri 112 kWh yang membolehkannya mencapai jarak sehingga 901 km CLTC, bersamaan sekitar 739 km mengikut WLTP.

Untuk sistem bantuan pemanduan, Courage menggunakan Huawei Qiankun ADS 4, manakala sistem infotainmennya dikuasakan HarmonySpace 5. Perkakasan berkaitan termasuk satu unit lidar 192-garis bersama 29 sensor bagi menyokong fungsi bantuan pemanduan.

Menurut Car News China, kabin Voyah Courage mempunyai 35 ruang penyimpanan, termasuk satu ruang berkapasiti 72 liter serta peti sejuk tujuh liter. Kelengkapan lain termasuk pengecas telefon tanpa wayar, meja lipat untuk penumpang belakang dan kemasan upholsteri mesra kulit yang diperakui Oeko-Tex.

Seperti yang didedahkan sebelum ini, jenama Voyah akan mempunyai rangkaian pengedar tersendiri di Malaysia menerusi bilik pameran berasingan daripada jenama Dongfeng. Buat masa ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai Passion S dan Courage untuk pasaran tempatan, namun kedua-duanya sedang dipertimbangkan bersama Dream 9 yang telah disahkan akan ditawarkan di Malaysia.

GALERI: Voyah Passion S

GALERI: Voyah Courage

IKLAN: Pandu EV Dongfeng idaman anda. Hantar butiran anda dan Dongfeng Carro (cawangan PJ) akan menghubungi anda.