Untuk warga kota atau pun yang berhajat mahu ke pusat bandar KL pada hujung minggu ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya berikutan beberapa jalan utama dan juga tiga lebuhraya yang akan ditutup dan dilencongkan pada 3 hingga 4 Okt ini. Ia adalah bagi memberi laluan kepada acara larian berskala besar iaitu Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (KLSCM) 2026. Acara larian ini akan bermula dan tamat di Dataran Merdeka untuk semua kategori.
Menurut pihak penganjur, sebanyak 11 jalan utama bakal ditutup pada Sabtu ini (3 Okt) bermula jam 5 pagi dan akan dibuka kembali pada 10 pagi untuk memberikan laluan kepada larian kategori IHH 10KM dan 5KM. Laluan yang terlibat ialah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu dan Jalan Sultan Hishamuddin.
Manakala pada 4 Okt (Ahad) pula, kategori ASICS Half Marathon (HM) 21 KM dan Full Marathon (FM) 42.195 KM akan diadakan yang melibatkan sebanyak 30 laluan termasuk Lebuhraya AKLEH di kedua-dua hala, MRR2 dan DUKE arah utara.
Sila semak senarai di bawah untuk mengetahui senarai penuh laluan yang terlibat dan waktu penutupan/dibuka semula.
Walau bagaimana pun, disebabkan jerebu masih hebat melanda negara kita, pihak penganjur turut berkata bahawa kemaskini mengenai acara larian ini akan dimaklumkan sekitar jam 4 petang pada Jumaat ini (2 Okt) sama ada ia akan diteruskan atau sebaliknya. Maklumat berkenaan akan dikongsikan menerusi laman media rasmi pihak penganjur, jadi para peserta kena peka dengan sebarang pengumuman yang dibuat.
Namun demikian, para peserta tetap diminta untuk mengambi race kit masing-masing pada 1-2 Okt ini (antara jam 11 pagi hingga 9 malam) untuk semua kategori dan 3-4 Okt (10 pagi-7 malam) untuk peserta HM dan FM sahaja. Lokasi pengambilan race kit ialah di Hall 8, Tingkat 2, MITEC.










