Chery Stockman – lebih perincian pikap PHEV diesel didedah, 476 PS, 800 Nm, tangguh ke Februari 2027

Chery mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai pikap terbarunya, Stockman, selepas tempahan model itu kini dibuka di pasaran utamanya, Australia. Menariknya, Stockman bakal menjadi pikap plug-in hybrid (PHEV) diesel pertama di dunia, dengan kuasa dan tork yang tinggi untuk memenuhi keperluan pengguna yang mahukan keupayaan lebih lasak.

Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, Stockman menggunakan enjin diesel turbo empat silinder 2.5 liter. Walaupun konfigurasi motor elektrik dan transmisi masih belum diumumkan, Chery mengesahkan sistem tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 476 PS dan tork 800 Nm. Angka itu 195 PS dan 103 Nm lebih tinggi berbanding Ford Ranger PHEV, tetapi masih 47 PS dan 200 Nm lebih rendah daripada JAC T9 PHEV.

Dari segi jarak pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, Stockman juga lebih hampir kepada JAC T9 berbanding Ford Ranger. Ia dilengkapi bateri LFP berkapasiti 34 kWh yang membolehkan pikap ini bergerak sehingga 96 km dengan sekali cas. Sebagai perbandingan, T9 PHEV menawarkan jarak EV sehingga 100 km, manakala Ranger PHEV hanya mampu mencapai sekitar 45 km.

Chery Stockman – lebih perincian pikap PHEV diesel didedah, 476 PS, 800 Nm, tangguh ke Februari 2027

Chery turut memberikan perhatian kepada keupayaan Stockman di luar jalan raya. Model ini menggunakan suspensi double-wishbone di hadapan dan spring dedaun di belakang, selain dilengkapi kunci differential hadapan, tengah dan belakang. Susunan ini memberi petunjuk bahawa ia menggunakan sistem pacuan empat roda konvensional. Keupayaan menunda pula mencapai 3,495 kg dengan brek dan 750 kg tanpa brek, manakala jarak kelegaan tanah melebihi 247 mm.

Maklumat terbaru ini melengkapkan apa yang telah diketahui mengenai Stockman, termasuk reka bentuk yang sedikit mengingatkan Ford Bronco serta kabin yang tampil lebih lasak dengan suis dan elemen rekaan bersaiz besar. Kelengkapan kabin termasuk paparan instrumen 10.25 inci, skrin sesentuh sistem infotainmen 15.6 inci dan sistem audio 14 pembesar suara. Chery turut menjanjikan pakej sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang lengkap.

Walaupun tempahan telah dibuka, Chery mengesahkan pelancaran Stockman di Australia ditangguhkan daripada jadual asal pada penghujung 2026. Penghantaran kepada pelanggan kini dijadualkan bermula pada Februari 2027. Sebelum memasuki pasaran Australia, model ini akan membuat kemunculan di China terlebih dahulu dengan nama Rely Hi800.

Chery Stockman – lebih perincian pikap PHEV diesel didedah, 476 PS, 800 Nm, tangguh ke Februari 2027

Stockman juga bakal disertai versi daripada Jaecoo yang dijangka hadir dengan reka bentuk lebih premium serta kabin yang menawarkan tahap kemewahan lebih tinggi. Selain itu, Chery turut merancang Tiggo V, iaitu pikap berasaskan SUV dengan struktur unibody dan kanopi belakang yang boleh ditanggalkan. Model berkenaan juga akan ditawarkan di bawah jenama Jaecoo sebagai sebahagian daripada usaha besar Chery untuk memperluaskan barisan pikapnya.

Lebih menarik, usaha tersebut turut akan melibatkan sub-jenama baru bernama Himla. Himla dijangka dilancarkan di Malaysia tahun depan, berkemungkinan berkait rapat dengan operasi pemasangan tempatan (CKD) berskala besar yang sedang dibangunkan di Lembah Beringin. Selain Stockman, beberapa model pikap lain seperti KP11, yang dijual di China sebagai Rely R08, turut berpotensi menjadi sebahagian daripada barisan tersebut di pasaran Malaysia.

GALERI: Chery Himla KP31 dan Himla KP11 di Wuhu, China

GALERI: Chery KP31 Concept