BMW iX3 M60 xDrive 2027 – EV M Performance 612 PS, 875 Nm, 0-100 dalam 3.9s, jarak gerak WLTP 754 km

BMW memperluaskan rangkaian iX3 dengan memperkenalkan varian M Performance baru, iaitu iX3 M60 xDrive. Model berasaskan platform Neue Klasse ini akan mula dibuka untuk tempahan pada penghujung Januari tahun depan, dengan menggunakan teknologi Gen6 M eDrive yang menghasilkan kuasa keseluruhan 612 PS (603 hp/450 kW) dan tork maksimum 875 Nm.

Dengan sistem pacuan semua roda yang menggunakan satu motor elektrik pada gandar hadapan dan satu lagi di belakang, iX3 M60 xDrive mampu memecut 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Motor belakangnya menggunakan stator yang dibangunkan semula bagi meningkatkan output, selain inverter yang lebih berkuasa dengan kapasiti 420 amp berbanding 300 amp sebelum ini.

Kedua-dua motor elektrik itu mendapat bekalan kuasa daripada bateri jenis nickel-manganese-cobalt (NMC) berkapasiti boleh guna 108.7 kWh. Menurut BMW, ia membolehkan jarak perjalanan sehingga 754 km mengikut kitaran WLTP. Seni bina elektrik 800 volt pula membolehkan pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 400 kW, dengan jarak sehingga 340 km boleh ditambah dalam masa hanya 10 minit.

BMW iX3 M60 xDrive 2027 – EV M Performance 612 PS, 875 Nm, 0-100 dalam 3.9s, jarak gerak WLTP 754 km

Pengecasan AC turut dipertingkatkan menerusi sistem AC Charging Professional yang menjadi kelengkapan standard. Sistem ini meningkatkan kadar pengecasan AC daripada 11 kW kepada 22 kW. Sebagai model M Performance, iX3 M60 xDrive turut menerima suspensi adaptif M dengan penyerap hentak dikawal secara elektronik, yang buat pertama kali ditawarkan pada iX3.

Menerusi sistem My Modes, pemandu boleh melaraskan karakter suspensi mengikut pilihan, termasuk dua mod khas iaitu M Sport dan M Sport Plus. Model ini turut dilengkapi differential elektronik M Sport pada gandar belakang serta struktur tambahan untuk meningkatkan ketegaran badan. Sambungan anti-roll bar di bahagian hadapan pula membantu meningkatkan ketepatan stereng.

Dari segi penampilan, iX3 M60 xDrive menerima beberapa elemen khusus M Performance bagi membezakannya daripada varian lain. Antaranya ialah M Yellow Lights serta elemen lampu di kedua-dua sisi gril kidney yang mengambil inspirasi daripada jalur M, selain logo M pada beberapa bahagian badan.

Pakej M Sport dan Iconic Glow turut menjadi kelengkapan standard, bersama lampu utama adaptif, rel bumbung hitam berkilat, penutup cermin sisi M, logo M pada sisi badan serta spoiler kecil khas M pada hujung bumbung. Rim aloi ringan 21 inci ditawarkan sebagai standard, manakala pelanggan boleh memilih roda 22 inci termasuk rekaan yang dioptimumkan untuk aerodinamik.

Di dalam kabin, iX3 M60 xDrive menerima stereng M Sport serta paparan khusus M yang disepadukan ke dalam sistem Panoramic iDrive. Sistem ini menggabungkan Panoramic Vision dengan skrin lebar dari tiang ke tiang, skrin sesentuh utama 17.9 inci dan head-up display 3D yang ditawarkan sebagai pilihan.

Kelengkapan lain termasuk tempat duduk sport M dan tali pinggang keselamatan khusus, selain sistem audio Harman Kardon dengan 13 pembesar suara. Kemasan Veganza bersama upholsteri M PerformTex turut ditawarkan, manakala program BMW Individual membolehkan pelanggan membuat pelbagai pilihan tambahan untuk menjadikan iX3 M60 xDrive lebih unik.