Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 22,632 unit kenderaan sepanjang bulan Ogos 2026, di mana rekod tersebut merupakan prestasi bulanan keseluruhan terbaiknya sejak Januari 2010. Angka tersebut adalah jumlah keseluruhan jualan untuk kumpulan Proton termasuk jumlah 2,477 yang dieksport dan juga jenama smart. Manakala untuk jualan domestik sahaja, Proton menyatakan bahawa prestasi yang dicatat pada Ogos 2026 merupakan jualan bulanan domestik terbaik pernah direkodkan dalam sejarah operasinya.
Berbanding bulan sebelumnya iaitu Julai 2026 di mana Proton berjaya menjual sebanyak 18,442, prestasi yang dicatat pada Ogos adalah naik sebanyak 22.72%. Ini membolehkan jualan kumulatif tahunan sehingga Ogos (YTD) Proton kini berjumlah 141,421 unit, atau 40.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Proton menjangkakan bahagian pasarannya untuk Ogos adalah 27.9%, manakala YTD pula berada pada 25.6% dari jumlah keseluruhan industri (TIV).
Dari keseluruhan jualan bulanan pada Ogos, Saga masih lagi merupakan model paling laris Proton dengan terjual sebanyak 7,347 unit. Namun jumlah berkenaan sebenarnya kurang 467 unit (atau 5.98%) berbanding 7,814 unit yang dicatatkan pada bulan Julai 2026. Walau bagaimanapun jualan YTD yang kini hampir mencapai 60,000 unit menyaksikan jualan Saga naik 33.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Manakala untuk S70, sebanyak 3,235 unit telah diserahkan kepada pelanggan sepanjang Ogos. Ini merupakan kali pertama S70 mencatatkan jualan bulanan melebihi 3,000 unit, dan ia adalah 378 unit (atau 13.2%) lebih banyak berbanding 2,857 unit yang dicatatkan pada Julai. Jualan kumulatif tahunan S70 untuk lapan bulan pertama tahun ini sudahpun mencapai 17,953 unit.
Sementara itu, 2,274 unit (19,910 unit YTD) X50 telah dijual pada bulan Ogos, kurang hanya 17 unit atau turun sebanyak 0.74% daripada 2,291 unit yang dijual pada bulan Julai. X90 pula mencatatkan jualan berjumlah 471 unit pada bulan lepas, naik sebanyak 30 unit (atau 6.8%) berbanding 441 unit yang dihantar pada bulan Julai. Proton menyatakan bahawa walaupun jumlah jualan X90 agak kecil dalam berbanding jumlah keseluruhan, jualan model itu masih 64% lebih banyak berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Beralih kepada model elektrifikasi yang dijual di bawah jenama Proton eMas, jualan kesemua model berkenaan iaitu eMas 5, eMas 7 dan eMas 7 PHEV mencapai 6,047 sepanjang Ogos, menjadikan jualan YTD untuk lapan bulan pertama tahun ini mencecah 27,860 unit.
Model paling laris Proton eMas masih lagi eMas 5, di mana ia telah terjual sebanyak 4,818 unit sepanjang Ogos, sekaligus mencatatkan rekod baharu sebagai jualan bulanan model EV paling tinggi pernah direkodkan. EV eMas 7 pula terjual sebanyak 613 unit sepanjang Ogos, dan 616 unit selebihnya adalah eMas 7 PHEV.
“Dengan mencapai jumlah jualan domestik bulanan tertinggi dalam sejarah Proton, kami telah mencapai satu detik penting yang mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan kami. Barisan produk kami terus menawarkan teknologi, reka bentuk, kualiti, keselamatan dan prestasi, disokong oleh nilai yang kukuh,” kata naib CEO Proton, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
“Pada masa yang sama, kami turut mencatat kemajuan kukuh dalam perniagaan eksport, khususnya dalam bidang pemasangan kenderaan untuk rakan kongsi kami, Geely. Usaha berterusan oleh pasukan Proton eMas pula telah menyumbang kepada penguasaan bahagian pasaran yang dominan dalam pasaran EV serta satu lagi bulan yang mencatat rekod. Hasilnya, Proton berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran jumlah jualan dan kewangan pada akhir tahun, sekali gus memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem automotif tempatan,” tambahnya.









Proton S70
dari RM59,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800