BYD Atto 3 Performance 2026 dalam teaser untuk M’sia – AWD, 449 PS, 570 Nm, WLTP 470 km, unit terhad

Ketika BYD Atto 3 versi facelift dilancarkan di Malaysia pada Jun lalu, varian tertinggi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) masih belum ditawarkan. Sebaliknya, model ini hanya ditawarkan dengan varian Ultra pacuan roda hadapan (FWD) dan Premium pacuan roda belakang (RWD). Namun, rupa-rupanya varian AWD sememangnya akan ditawarkan kemudian, seperti yang diberi bayangan oleh pengedar Sime Motors, Beyond Auto.

Model yang dikenali sebagai Performance ini akan membuat kemunculan umum pada 10 September di beberapa bilik pameran terpilih Beyond Auto, dengan hanya unit terhad ditawarkan. Ia berkongsi peningkatan mekanikal Evo dengan varian Premium, tetapi ditambah dengan motor elektrik di bahagian hadapan, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 449 PS (330 kW) dan tork 570 Nm.

Masing-masing melibatkan angka prestasi cecah 136 PS (100 kW) dan 190 Nm lebih tinggi berbanding model RWD yang sememangnya sudah cukup padu. Dengan kuasa tambahan tersebut, SUV elektrik ini mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

BYD Atto 3 Premium

Seperti varian Premium, Performance turut menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 74.8 kWh. Bagaimanapun, peningkatan prestasi menyebabkan jarak pemanduan berdasarkan kitaran WLTP berkurang daripada 510 km kepada 470 km. Sebahagian daripada rombakan pada aspek mekanikalnya ialah penggunaan seni bina elektrik 800 volt, yang meningkatkan kuasa pengecasan pantas DC kepada 220 kW, membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80% hanya dalam masa 25 minit.

Selain kuasa tambahan, Performance dijangka hampir mirip dengan varian Premium, termasuk menerima kemas kini luaran dan dalaman yang sama serta rim aloi turbin 18-inci daripada Evo. Jika pasaran Eropah boleh dijadikan rujukan, model ini turut dijangka dilengkapi paparan head-up (HUD), selain paparan instrumen 8.8-inci dan skrin sentuh sistem infotainmen 15.6-inci.

BYD Atto 3 facelift Premium 2026