BYD Malaysia batalkan kilang Tanjong Malim, operasi CKD akan diteruskan dengan rakan kerjasama tempatan

Minggu lalu BYD dilaporkan bakal mendedahkan rancangan pembangunan EVnya di Malaysia pada minggu ini, bagi memberikan jawapan kepada persoalan adakah ia akan meneruskan rancangan untuk memasang model-modelnya secara tempatan (CKD) di sini dan hala tuju yang akan di ambil sekiranya rancangan itu diteruskan.

Seperti yang disebutkan oleh naib presiden BYD dan pengurus besar bahagian jualan auto Asia Pasifiknya, Liu Xueliang, apabila ditanya oleh wartawan sama ada BYD akan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan atau menjalankan operasi pengeluarannya sendiri di sini, beliau memberitahu bahawa jawapan bagi persoalan itu akan diberikan dalam masa seminggu.

Dan jawapan tersebut telahpun diberikan (walaupun tidak sepenuhnya) di mana BYD telah mengesahkan bahawa ia akan memasang kenderaan jenamanya di Malaysia, tetapi bukan seperti apa yang dirancang pada peringkat awal. Perkara ini dijawab oleh pengarah urusan BYD Malaysia, Jacob Ma malam tadi ketika memperkenalkan BYD Atto 3 Performance, di mana beliau mengesahkan bahawa kilang yang dirancang mahu dibina di Tanjong Malim sudahpun dibatalkan.

BYD Malaysia batalkan kilang Tanjong Malim, operasi CKD akan diteruskan dengan rakan kerjasama tempatan

“Untuk menjelaskan perkara ini, fasiliti Tanjong Malim tidak akan diteruskan. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak bermakna BYD telah membatalkan rancangannya untuk memasang kenderaan secara tempatan di Malaysia. Komitmen kami terhadap pemasangan tempatan masih kekal,” katanya kepada media pada sesi soal jawab selepas acara pelancaran itu.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi pemasangan tempatan terkemuka yang mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk memenuhi keperluan BYD dan boleh menyokong operasi pemasangan tempatan penuh kami. Perbincangan sudah berada di peringkat yang sangat maju dan kami sedang menyelesaikan dokumentasi yang diperlukan, dan kami akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja semuanya siap,” katanya, sambil menambah bahawa identiti rakan kongsi tempatan tidak dapat didedahkan sehingga perjanjian itu dimeterai.

Ma menambah bahawa walaupun rancangan mungkin telah berubah, namun apa yang dimahukan oleh syarikat tetap sama. “Kami terus melihat Malaysia sebagai pasaran penting dan bahagian strategik pertumbuhan BYD pada masa hadapan. Rancangan mungkin berubah, lokasi mungkin berubah, dan strategi mungkin diperhalusi, tetapi apa yang kekal ialah komitmen kami terhadap pasaran ini. Kami akan terus melabur. BYD akan kekal di sini. Kami di sini untuk berkembang bersama Malaysia,” katanya.

BYD Malaysia batalkan kilang Tanjong Malim, operasi CKD akan diteruskan dengan rakan kerjasama tempatan

Pada Ogos 2025, BYD telah mengesahkan rancangannya untuk membina kilang CKD miliknya sendiri di Tanjong Malim, Perak, namun tiada sebarang perkembangan lanjut berkenaannya akhir-akhir ini, sehinggalah bulan lalu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa masih belum ada keputusan rasmi dibuat berkenaan kilang berkenaan.

Sementara itu, BYD dilihat mungkin bakal memasang kenderaannya di Malaysia menerusi kerjasama dengan Sime Motors sebagai pemasang kontrak di sini, susulan lawatan ke kilang Inokom milik Sime Motors di Kulim, Kedah yang dibuat oleh Liu pada Mei lalu. Sekiranya kerjasama ini benar-benar berlangsung, ia tentunya selari dengan polisi terbaharu MITI yang mahukan pengeluar-pengeluar EV untuk menjalankan lebih kerjasama dengan syarikat tempatan di Malaysia.

Kemungkinan ini semakin tinggi apabila pasukan kepimpinan Sime Motors dilaporkan telahpun melawat Ibu Pejabat BYD di Shenzen, China untuk untuk perbincangan mengenai “keutamaan strategik dan bidang kepentingan bersama” minggu lalu.