Proton dan Uniqlo hasilkan koleksi kemeja-T, beg jinjing – lakaran Saga generasi pertama, Satria Neo, S70 dll

Uniqlo Malaysia telahpun mengumumkan projek kolobrasinya bersama Proton, menampilkan koleksi kemeja-T dan juga beg jinjing yang memaparkan lakaran warisan sejarah serta imej jenama automotif nasional tersebut. Kolobrasi ini dibuat menerusi program Through UTme!, iaitu servis cetakan tempahan istimewa dari Uniqlo yang menampilkan hasil lakaran artis tempatan, Syaiful O’matajari.

Menerusi koleksi ini Syaiful menghasilkan lakaran sisi Proton Saga generasi pertama bersama serta satu lagi lakaran dengan latar belakang kedai runcit era 80’an/awal 90’an, serta lakaran sisi Proton Satria Neo bersama lakaran yang memaparkan sejarah hot-hatch berkenaan yang berkait dengan sukan permotoran dalam disiplin rali.

Koleksi ini juga menampilkan model-model terkini Proton termasuk sedan S70 dalam versi yang diubahsuai serta lakaran sisi versi standard, dan lakaran SUV Proton X50 facelift dan EV eMas 7.

Menerusi program ini, pelanggan boleh mencetak lakaran-lakaran yang disediakan sama ada pada kemeja-T atau beg jinjing dengan saiz atau susunan mengikut kehendak pelanggan sendiri. Namun menurut Uniqlo Malaysia, koleksi ini hanya boleh didapati di outlet Uniqlo terpilih sahaja iaitu di Exchange TRX, Fahrenheit88, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall (KL) dan juga Mid Valley Southkey (Johor).