BYD Atto 3 Premium dalam warna Gemilang Blue di Malaysia – rim dua tona, jarak WLTP 510 km, RM125k

Selain melancarkan Atto 3 Performance, BYD turut mempamerkan varian pertengahan Premium dalam warna baru Gemilang Blue. Warna biru terang ini diperkenalkan pada penghujung bulan lalu, dipercayai sebagai sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Merdeka di Malaysia. Walaubagaimanapun, warna tersebut sebenarnya bukanlah pilihan yang dibangunkan khusus untuk pasaran tempatan.

Sebaliknya, Gemilang Blue merupakan nama baru bagi warna Iris Blue yang digunakan pada Atto 3 Evo di pasaran Eropah, termasuk varian Premium dan Performance. Sementara di sana ia ditawarkan sebagai pilihan biasa, warna ini di Malaysia hanya tersedia untuk varian Premium, manakala Performance yang baru dilancarkan juga tidak mendapat pilihan tersebut. Warna lain yang ditawarkan ialah Ski White, Atlantis Grey, Harbour Grey dan Cosmos Black.

Dari segi harga, Gemilang Blue Premium ditawarkan pada harga RM124,800, iaitu RM14,000 lebih rendah berbanding harga biasa RM138,800. Angka itu juga menjadikannya sedikit lebih murah daripada varian asas Ultra yang berharga RM125,800. Walaubagaimanapun, harga berkenaan mengambil kira pakej pelancaran yang merangkumi pengecas wallbox percuma serta sokongan overtrade bernilai RM10,000, dengan promosi sama turut ditawarkan untuk Ultra.

BYD Atto 3 Premium dalam warna Gemilang Blue di Malaysia – rim dua tona, jarak WLTP 510 km, RM125k

Tiada perubahan pada rangkaian kuasa, memandangkan Premium masih mengekalkan pakej naik taraf menyeluruh Atto 3 Evo. Antaranya ialah perubahan daripada pacuan roda hadapan (FWD) pada Ultra kepada pacuan roda belakang (RWD), dengan motor elektrik tunggal menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 380 Nm. Dengan kuasa tersebut, Atto 3 Premium mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, tetapi masih tidak sepantas Performance.

Kapasiti bateri Blade LFP turut ditingkatkan kepada 74.88 kWh, sekaligus memberikan jarak perjalanan sehingga 510 km, iaitu angka tertinggi bagi mana-mana Atto 3 setakat ini. Bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa BYD Malaysia masih menggunakan angka jarak perjalanan berdasarkan kitaran NEDC untuk pemasaran tempatan, dengan angka yang dinyatakan ialah sehingga 600 km.

Sistem elektrik pula dinaik taraf kepada 800 volt, membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 220 kW. Bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80% dalam masa hanya 25 minit, manakala pengecasan AC pula menyokong sehingga 11 kW berbanding 7 kW pada Ultra, dengan masa pengecasan penuh sekitar lapan jam. Suspensi turut dinaik taraf, menggunakan MacPherson dua sambungan di hadapan dan sistem five-link di belakang, berbanding four-link pada Ultra pacuan roda hadapan.

BYD Atto 3 Premium dalam warna Gemilang Blue di Malaysia – rim dua tona, jarak WLTP 510 km, RM125k

Selain warna baru, reka bentuk Premium kekal seperti sebelum ini dengan bampar hadapan dan belakang yang dikemas kini serta elemen berkembar seperti “taring”, tiang-D yang direka semula, lampu belakang LED penuh selebar badan dan lampu brek ketiga berbentuk “pause”. Rim aloi 18 inci rekaan turbin yang sebelum ini berwarna kelabu kini menggunakan kemasan dua tona, sama seperti Performance, bagi memberikan penampilan yang lebih premium.

Ruang kabin pula hadir dengan kemasan serba hitam yang lebih kemas, manakala reka bentuk beralun pada papan pemuka turut diratakan. Bagaimanapun, ciri unik seperti pemegang pintu jenis tarik ke belakang dan elemen “tali gitar” pada poket pintu masih dikekalkan. Atto 3 Premium turut menerima stereng baru daripada Atto 2, paparan instrumen lebih besar, berukuran 8.88 inci serta skrin infotainmen 15.6 inci yang tidak lagi boleh dipusingkan.

Satu lagi perubahan ialah penggunaan tuil gear baru di belakang stereng, menggantikan tuil pada konsol tengah sebelum ini. Susun atur ini memberikan lebih banyak ruang di bahagian tengah kabin untuk dua pemegang telefon pintar. Kedua-duanya turut dilengkapi pengecas tanpa wayar Qi 50 watt yang lebih berkuasa serta sistem penyejukan.

BYD Atto 3 Premium dalam warna Gemilang Blue di Malaysia – rim dua tona, jarak WLTP 510 km, RM125k

Dari segi kelengkapan standard, varian Premium masih menawarkan lampu utama LED, rel bumbung, sistem masuk tanpa kunci dengan kad NFC, butang penghidup, pendingin hawa automatik, serta tempat duduk hadapan larasan elektrik enam hala.

Tempat duduk turut mempunyai fungsi pengudaraan, manakala pelarasan sokongan lumbar di bahagian pemandu adalah ciri khusus untuk Premium dan Performance. Turut tersedia ialah balutan kulit tiruan, bumbung kaca panoramik, cermin sisi boleh dipanaskan, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta kamera 360 darjah.

Ruang bagasi pula berkapasiti 490 liter, iaitu 56 liter lebih besar berbanding Ultra. Peningkatan ini dicapai melalui pembuangan lantai ruang bagasi dua tingkat dan jaring penyimpanan di sisi, selain penggunaan penyandar tempat duduk belakang yang lebih nipis dengan dua tahap pelarasan kecondongan. Bagaimanapun, Premium masih tidak mendapat tonneau cover yang ditawarkan pada Performance, manakala Ultra pula menggunakan penutup jenis keras.

BYD Atto 3 Premium dalam warna Gemilang Blue di Malaysia – rim dua tona, jarak WLTP 510 km, RM125k

Untuk keselamatan, Premium mendapat semula beg udara tengah yang tidak ditawarkan pada Ultra, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh beg udara. Ia turut dilengkapi rangkaian lengkap sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan bergerak, bantuan mengekalkan kedudukan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta amaran pelanggaran belakang dan pembukaan pintu.

Selain itu, ciri bantuan pemanduan yang dikhaskan untuk Premium dan Performance adalah termasuk amaran lintasan trafik hadapan dengan fungsi brek automatik, pengesanan tanda trafik serta bantuan had laju. Dengan pakej kemas kini yang menyeluruh ini, Atto 3 Premium menawarkan rangkaian kuasa lebih bertenaga, bateri lebih besar dan kelengkapan lebih lengkap, sementara warna Gemilang Blue hadir sebagai pilihan eksklusif untuk varian tersebut di Malaysia.